ISTIMEWA



 Nasional   

Rumah kos rendah: Khalid hanya teruskan usaha BN

pada 31-10-2012 08:10 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir

Post Pic

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo menyangkal dakwaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor bahawa pihaknya berjaya menyediakan rumah kos rendah dan sederhana di negeri itu berdasarkan senarai statistik yang diberi  semalam.

Sebaliknya, Khir menjelaskan rumah yang disenaraikan oleh Exco kerajaan negeri Iskandar Abdul Samad itu adalah projek perumahan kos rendah yang telah disiap dibina oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
 
"Kebanyakan rumah yang telah siap itu dibina pada zaman saya, saya tahu dan saya ingat.
 
"Sebenarnya catatan itu projek perumahan kos rendah yang kita (BN) buat dulu.
 
"Tetapi tak dicatatkan dalam penyata kerajaan sebelum 2008 sebab baru siap," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini. 
 
Malah, menurut Khir beliau yakin projek yang disenaraikan itu adalah hasil usaha BN dalam menyelesaikan masalah rakyat yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah, bukan seperti yang diberitahu Iskandar.
 
"Sebahagian besar projek-projek itu diluluskan  zaman BN dan siap zaman PKR memerintah,"
 
"Kerajaan Negeri Selangor yang memerintah sekarang baru 4 tahun, paling cepat pun rumah akan siap dalam masa empat tahun, jadi jika ada rumah yang masa BN tidak siapkan, Kerajaan Negeri sekarang kena siapkan.
 
"Kalau mereka yang bina dalam masa empat tahun sekarang mana rumah yang telah siap?" soalnya.
 
Kerajaan Selangor semalam menyenaraikan statistik berkaitan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana di negeri itu bagi menjawab dakwaan pemimpin BN bahawa hanya 1,000 unit rumah jenis itu disiapkan.
 
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Abdul Samad berkata, sebanyak 6,470 rumah kos sederhana (RM42,000 ke bawah) dan sebanyak 3,925 unit rumah kos sederhana dan sederhana rendah (RM100,000 ke bawah) siap dibina sejak 2008 di negeri itu.
 
Bagaimanapun, Iskandar tidak menjawab dakwaan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim bahawa PR gagal menyediakan rumah kos rendah sebaliknya hanya  menyiapkan rumah mampu milik sahaja.
 
Justeru, Khir menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengemukakan senarai nama projek kos rendah yang telah disiapkan sebagai bukti. 
 
"Kalau betul-betul Kerajaan Negeri sekarang jujur mengenai pembinaan rumah kos rendah oleh mereka, mereka perlu namakan projek-projek itu, alamat projek itu, berapa rumah dibina, tarikh kelulusan plan, dan bila rumah-rumah itu siap,"tegasnya.
 
Selain itu, Khir turut menyifatkan kerajaan negeri Selangor ebagai tidak mengambil berat terhadap kemampuan rakyat dengan hanya menyediakan dua jenis rumah sahaja iaitu rumah mampu milik dengan harga dibawah RM100 ribu bagi yang pendapatan RM5000 ke bawah.
 
Katanya, jika dibandingkan dengan BN sebelum ini kerajaan lebih prihatin dengan nasib penduduk dengan menyediakan empat jenis rumah iaitu Rumah Kos Rendah bagi mereka yang bergaji RM1500 ke bawah , Rumah Kos Sederhana Rendah bergaji RM3000 ke bawah, Rumah Kos Sederhana untuk berpendapatan RM5000 ke bawah dan Rumah Bebas untuk golongan yang berpendapatan tinggi. 
 
"Rumah yang BN pernah buat dulu adalah Rumah Kos Rendah (RM40 ribu ke bawah), Rumah Kos Sederhana Rendah (RM70 ribu ke bawah), Rumah Kos Sederhana (RM100 ribu kebawah) dan Rumah Kos Bebas. 
 
"Jadi nampak rakyat punya peluang untuk memili rumah," tambahnya.

Ruangan Komen