Nasional   

Kalau negara tergadai, bukan pada China - Rahman Dahlan

pada 15-04-2018 10:04 
Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim

Post Pic

SHAH ALAM: Jika benar kedaulatan negara akan tergadai, bukan kepada China tetapi sebaliknya Singapura atau Jepun, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
 
Ini kerana, jumlah pelaburan Malaysia di dua negara itu jauh lebih tinggi berbanding China, tegas Abdul Rahman.
 
Justeru dakyah pembangkang bahawa kedaulatan negara akan tergadai kepada China adalah pembohongan untuk menakutkan rakyat semata-mata.
 
"Setakat tahun lalu, jumlah terkumpul pelaburan China (termasuk Hong Kong)  di Malaysia bernilai RM65 bilion, ketiga tertinggi selepas Singapura dan Jepun.
 
"Ini lebih rendah daripada jumlah terkumpul pelaburan Singapura (RM116.3 billion) dan Jepun (RM71.6 billion). Jumlah pelaburan China di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di bawah Singapura dan Jepun.
 
"Menurut logik pembangkang, kedaulatan Malaysia sepatutnya terjual kepada Singapura dan Jepun dahulu kerana jumlah pelaburan mereka yang lebih besar jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan yang dibuat oleh China dalam negara kita," katanya menerusi kenyataan medianya.
 
Abdul Rahman menjelaskan Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan sudah tentu akan menerima pelaburan dari luar negara tetapi tidak terhad kepada China sahaja. 
 
Tambahnya, jumlah pelaburan asing terkumpul di Malaysia sehingga 2017 adalah RM565 billion. 
 
Pelaburan dari China hanyalah mewakili 11.5 peratus daripada jumlah pelaburan asing di Malaysia. 
 
Malaysia juga menerima pelaburan dari negara-negara Eropah seperti Belanda, Switzerland, Jerman, United Kingdom, Denmark dan juga Amerika Syarikat.
 
"Baru-baru ini syarikat Saudi Aramco dari Arab Saudi bersetuju melabur 7 bilion US Dollar (RM27 bilion) di dalam Projek RAPID Pengerang. 
 
"Saya yang terlibat secara langsung di dalam rundingan bersama-sama Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid al-Falih mendapat maklum balas yang positif dari pihak mereka tentang ekonomi Malaysia," katanya.
 
Justeru Abdul Rahman mahu rakyat membuka mata dan menilai fakta yang ditabur pembangkang, agar tidak semberono mempercayai segala tohmahan yang dibuat terhadap kerajaan.
 
"Propaganda sebegini bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia sekaligus memberi pandangan negatif kepada kerajaan Umno BN.
 
"Propaganda palsu ini tidak berlandaskan fakta dan angka yang sebenarnya tetapi berasaskan fitnah jahat untuk mencipta persepsi negatif kepada BN," katanya.
 
Beliau memberi amaran bahawa berita palsu yang disebarkan pembangkang boleh menjejaskan ekonomi negara.
 
"Sekiranya pelaburan masuk ke Malaysia terjejas, tidak banyak pekerjaan boleh dicipta untuk rakyat Malaysia seterusnya mengurangkan peluang untuk menjana pendapatan.
 
"Bagi pembangkang mereka akan sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa termasuklah mensabotaj ekonomi negara dan rakyat. 
 
"Tidak ada sekelumit pun kedaulatan negara yang akan BN pajakkan kepada mana-mana negara asing. 
 
"Jangan gadaikan masa depan anda dan tanahair yang kita cintai ini," jelasnya.
 
 
-ze



Ruangan Komen