Nasional   

PRU14: Calon Amanah kerusi DUN Paya Jaras sudah angkat sumpah

pada 15-04-2018 09:04 
Oleh Athirah Hanapiah

Post Pic

SHAH ALAM: Calon Amanah bagi DUN Paya Jaras sudahpun mengangkat sumpah taat setia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehinggalah penyandang kerusi itu bertindak melompat parti.
 
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata selepas Khairuddin Othman keluar PAS dan menyertai PKR, partinya diminta mempertimbangkan untuk melepaskan kerusi Paya Jaras.
 
Desas-desus bertebaran bahawa Khairuddin akan mempertahankan kerusi itu pada PRU14, biarpun umum mengetahui Amanah akan meletakkan calon di semua kerusi milik PAS di Selangor.
 
"Calon Paya Jaras (bagi Amanah) sudah ada dan sudah mengangkat sumpah. Cuma ada tuntutan terakhir daripada parti Keadilan (PKR). Kita empat adik-beradik, empat parti ini kita bincang.
 
"Cuma pada dasarnya ia telah dipersetujui dari awal ia (DUN Paya Jaras) untuk Amanah," katanya.
 
Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dilaporkan sebagai mengesahkan Amanah sudah menerima permohonan pertukaran kerusi daripada PKR supaya dapat meletakkan Khairuddin di kerusi DUN tersebut.
 
Ahli Parlimen Shah Alam itu bagaimanpun tidak mengulas lanjut penerimaan partinya terhadap perkembangan terbaru itu.
 
Mengulas lanjut perkara itu, Anuar berkata beliau masih berharap kerusi DUN tersebut akan kekal ditandingi oleh calon Amanah pada PRU kali ini.
 
"Ini sudah dipersetujui dari awal jadi manusia dipegang pada janjinya. Jadi kalau sudah berjanji awal untuk beri kepada Amanah kemudian, nak tarik balik dan minta balik, kita boleh bincang. Tapi nampaknya kita harap keputusan awal itu tidak berubah.
 
"(Kita) Masih mengharapkan Paya Jaras kerana Paya Jaras adalah antara tempat awal yang mengasaskan Amanah di Selangor," ujarnya lagi.
 
Khairuddin pada Ahad lalu mengumumkan keluar daripada PAS untuk menyertai PKR dalam satu ceramah yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Sungai Buloh.
 
Khairuddin ketika dihubungi Antarapos sebelum ini enggan mengesahkan adakah beliau akan mempertahankan kerusi berkenaan berikutan isu agih kerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor masih belum selesai.
 
Namun Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Dr Xavier Jayakumar yang juga dihubungi Antarapos berkata tiada jaminan untuk Khairuddin diturunkan sebagai calon pada pilihan raya kali ini.
 
 
-ze



Ruangan Komen