Nasional   

PAS yakin mampu pertahan kerusi DUN Paya Jaras - Dusuki Ahmad

pada 15-04-2018 08:04 
Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini

Post Pic

SHAH ALAM: PAS yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Paya Jaras pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana yakin Allah akan membantu pihak yang berusaha memartabatkan agama Islam.
 
Itu keyakinan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani selepas ditanya apakah partinya mampu menang sekali lagi ke atas kerusi DUN itu pada PRU14. 
 
"Asasnya jika kita tolong agama Allah, Allah akan tolong agama kita.
 
"Allah dah sebut macam tu, yang bermakna 'dan Allah akan tetapkan perdirian dia' jadi kita serahlah kepada Allah mudah-mudahan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Kerusi DUN Paya Jaras pada PRU13 dimenangi PAS menerusi penyandangnya Khairuddin othman. 
 
Bagaimanapun Khairuddin bertindak keluar parti dan menyertai PKR, minggu lalu.
 
Pimpinan tertinggi PAS baik peringkat negeri atau Pusat sebelum ini menyifatkan tindakan Khairuddin keluar parti sebagai satu proses pemutihan.
 
Malah ada antara mereka yang menjangkakan kemasukan Khairuddin ke PKR akan menambah krisis dalaman Pakatan Harapan (PH) Selangor yang sedia berselisih berhubung isu agih kerusi.
 
Sehingga kini, PH Selangor masih berebut enam kerusi - Seri Serdang, Lembah Jaya, Dusun Tua, Sungai  Panjang, Sungai Burong dan Kota Damansara. 
 
Dusuki kemudiannya ditanya perihal keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang membenarkan beliau terus mengajar agama di negeri itu. 
 
 "Syukur alhamdullilah. Jadi bila saya bawa kerja agama, saya serahlah kepada Allah yang nak menentukan kerja.
 
"Yang penting sekarang ini, kita laluilah pilihan raya kita dengan tenang dan lapang, InsyaAllah," katanya.
 
MAIS sebelum ini menggantung sementara tauliah Dusuki untuk mengajar agama di Selangor susulan kontroversi doa yang dibacanya sempena sambutan 10 tahun PAS berada dalam kerajaan negeri itu pada malam Sabtu.
 
Penggantungan tersebut telah ditarik balik pada 12 April dan ditandatangani oleh Mohd Shahzihan Ahmad, Setiausaha Jawatankuasa Tauliah MAIS.
 
Beliau juga diingatkan supaya mengelakkan memberi kenyataan yang berunsur 'taasub' dan kebencian secara langsung atau tidak langsung yang melibatkan umat Islam.
-ze



Ruangan Komen