Nasional   

Aziz Bari bukan calon DAP wakili DUN Tebing Tinggi - Anthony

pada 15-04-2018 03:04 

Post Pic

KUALA LUMPUR: DAP menafikan laporan media bahawa pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari dicalonkan parti itu bagi kerusi DUN Tebing Tinggi pada pilihan raya kali ini.
 
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pengumuman tersebut tidak pernah mendapat kebenaran dan mandat daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
 
"Secara lazimnya, sebarang pengumuman calon Pakatan Harapan daripada DAP hanya boleh diumumkan oleh setiausaha agung DAP atau pemimpin CEC yang telah diberikan mandat oleh setiausaha agung," katanya dalam satu kenyataan.
 
Justeru itu, katanya pengumuman yang dibuat sendiri penyandang kerusi berkenaan, Ong Boon Piow telah melanggar disiplin parti.
 
"Beliau akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib parti untuk tindakan selanjutnya," katanya yang kesal dengan kekeliruan yang timbul daripada pengumuman berkenaan.
 
Terdahulu media melaporkan Aziz dicalonkan DAP di kerusi DUN Tebing Tinggi pada satu majlis ceramah di Station 18 di Ipoh, Perak.
 
"Insya-Allah, jika saya dipilih sebagai calon di DUN Tebing Tinggi dan menang, banyak yang kita akan bantu. Tapi biarlah menang sebagai kerajaan, bukan pembangkang," Aziz dipetik berkata.
 
Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh; Ketua Pemuda DAP Perak, Howard Lee Chuan How, Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
 
Abdul Aziz pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai ahli PKR dan menyertai DAP pada 2015.



Ruangan Komen