Nasional   

BN Johor kemuka manifesto dengan 230 tawaran

pada 15-04-2018 02:04 

Post Pic

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor mengumumkan manifesto bertemakan Team Johor Untuk Dekad Baru yang menawarkan 230 tawaran kepada rakyat negeri itu.
 
Manifesto yang dilancarkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin antara lain menawarkan pertumbuhan ekonomi nan tinggi dan penyediaan prasarana komprehensif untuk 'mengejar Singapura'.
 
"Kita tidak akan biarkan Johor sekadar menjadi halaman belakang kepada sesiapa pun, apatah lagi sekadar menjadi pemerhati Singapura.
 
"Ini adalah tawaran kami dari pasukan BN negeri dan tawaran ini disusun dengan dipimpin oleh tiga sasaran iaitu memenuhi keperluan dan meningkatkan kesejahteraan bangsa Johor secara keseluruhannya, memposisikan Johor sebagai kuasa ekonomi baru selatan dan mempersiap serta melonjakkan Johor sebagai pesaing kepada semua, terutamanya jiran kita Singapura," katanya ketika berucap pada majlis itu.
 
Antara lain tawaran yang mendapat perhatian adalah pembinaan taman tema sains fiksyen pertama di dunia, Sci-Fi Universe pada tahun 2019 dengan pelaburan RM400 juta.
 
BN Johor juga akan memperkenalkan Insurans Bencana Alam Johor untuk mangsa bencana alam selain menambah baik sistem amaran banjir.
 
Mohamed Khaled turut menjanjikan mewajibkan pengisytiharan harta dan aset untuk Exco dan penjawat awam negeri kepada Menteri Besar, mewajibkan lafaz Ikrar Anti Rasuah dalam kalangan 56 ADUN dan semua 5,000 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT).
 
Selain lima kluster utama, BN Johor turut menawarkan tawaran pada Orang Muda Johor (OMJ), wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU).
 
Antara tawaran kepada belia yang mendapat sorakkan ramai ialah pemberian bantuan RM500 kepada OMJ yang kali pertama berkahwin untuk pasangan muda yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
 
BN Johor turut perkenalkan program Pasport Pertama Bangsa Johor, iaitu pembiayaan RM50 untuk permohonan mendapatkan pasport kali pertama bagi OMJ berusia 30 tahun ke bawah, terhad kepada 3,000 penerima setahun.
 
Dalam usaha menyokong strategi Felda 2.0, BN Johor turut berjanji akan menyelesaikan isu perwarisan di Felda dalam tempoh lima tahun.
 
Sebagai tawaran untuk wanita di Johor, satu tapak khusus akan disediakan untuk membina Kompleks Wanita Tun Fatimah sebagai pusat niaga, kompleks busana, pusat kaunseling dan pembinaan kapasiti wanita di negeri ini.
 
 
 
-ze



Ruangan Komen