Komentar   

Mahathir terjebak konspirasi PH?

pada 12-04-2018 10:04 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Firasat politik Tun Dr Mahathir Mohamad kini tidaklah segesit ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun bermula 1981 dahulu. Mungkin menyedari hakikat inilah beliau melepaskan jawatan itu pada tahun 2003 lalu.

Namun selepas bersara Mahathir nampaknya resah kerana dua penggantinya dilihat tidak menurut ‘skrip pemerintahan’ yang telah diwariskannya kepada mereka. Ini bermula dengan Tun Abdullah Badawi dan kemudian Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir tidak dapat membenamkan gelora mahu berkuasa semula kerana halatuju dua tokoh yang dipilihnya sendiri untuk mengisi kerusi yang didudukinya lebih dua dekad itu dilihat ‘membahayakan legasi’ yang mahu ditinggalkannya.

Pada 2003 Mahathir kelihatan “sedap hati” untuk berundur setelah memastikan semua unsur yang boleh menjejaskan nama baiknya sebagai perdana menteri sudah dikembirikan. Pencabar terbesarnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah terperosok dalam penjara.

Menurut congakannya, dengan ‘ghaibnya Anwar’ dari arena politik negara kerana disabitkan kesalahan meliwat, banyak ‘kelemahan dan ketidakadilan polisi pemerintahannya, akan dilupai umum bersama Anwar.

Namun Tun Abdullah ‘mengganggu’ persaraannya dengan “tidak mencampuri” keputusan Mahkamah Persekutuan yang meluluskan permohonan rayuan Anwar pada 2004. Ini menjengkel dan meresahkan Mahathir.

Bagi Mahathir keadaan ini berbahaya padanya. Anwar Ibrahim yang bebas boleh ‘memenjarakannya’ pula. Justeru pemegang tampuk kekuasaan, Abdullah Badawi tidak harus dibiarkan bebas memerintah menurut ‘semahunya’.

Banyak kecuaian, salah-guna kuasa, dan kezaliman dilakukan Mahathir semasa pemerintahannya. Hakikat ini semua tidak terlepas pemerhatian ramai penganalisis politik. Banyak buku ditulis mengenai ‘keterlanjuran’ pemerintahan Mahathir.

Di kalangan mereka, Mahathir masih terkenal sebagai pemimpin yang sering meminda undang-undang negara untuk dijadikan ‘alat politik’. Perkara ini dibangkitkan oleh penganalisis politik, Dr Jeneri Amir.
 
Beliau memberi contoh, pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang didakwanya pernah dijadikan alat manipulasi pemimpin veteran itu.
 
"Tun Mahathir terkenal sebagai pemimpin yang telah meminda beberapa kali, sebagai contoh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sehingga (beliau ketika itu) Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan, menggantung atau pun menolak permohonan permit penerbitan.
 
"Beliau telah menggunakan akta dan undang-undang komunikasi dan media sebagai alat 'hegemoni' politik,” kata Dr Jeneri ketika mengulas janji Pakatan Harapan (PH) mahu menghapuskan beberapa akta “zalim” Mahathir.
 
"Harus diingat balik siapa yang paling banyak mengetatkan akta dan undang-undang berkaitan dengan media dan komunikasi di Malaysia dalam tempoh 22 tahun pemerintahan (Mahathir)?," tegasnya. 
 
PH yang dipengerusikan Dr Mahathir, dilaporkan mahu memansuhkan beberapa akta yang disifatkan 'zalim' jika berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Ini termasuk dua akta baru yang diluluskan Dewan Rakyat iaitu undang-undang Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya dan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Persoalannya, mengapakah Mahathir ‘berani’ membuat pengumuman itu? Adakah beliau ‘ditekan’ oleh kerabat PH? Tidakkah itu akan mendorong umum mengaitkan kezaliman kerajaan lampau sebenarnya bermula daripada beliau sendiri?

Bagi PH kenyataannya itu pasti menyuntikkan Harapan segar bahawa jika PH memerintah, tiada perundangan zalim akan wujud lagi. Paling penting orang yang menggerakkan proses pembersihan dan pembebasan undang-undang itu ialah Mahathir sendiri!

Bagi Mahathir sindiran atau komen ‘suara-suara kecil PH’ itu tidak menjadi masalah baginya kerana memang itulah asas kuat yang mendorongnya “terjun kembali” ke persada politik. Beliau mahu melindungi namanya agar tidak terdedah sebagai punca kezaliman terhadap rakyat. 
 
Apatah lagi kini beliau sudah diangkat oleh pembangkang yang mahu menundukkan kerajaan Umno-BN, sebagai calon perdana menteri jika menang PRU14.

Pucuk dicita ulampun tiba. Noda dan dosanya akan ‘dibersihkan’ oleh musuh lama seperti PKR dan DAP! Jika PH bertindak menghapuskan undang-undang ‘zalim’ sudah tentu langkah itu akan mengharumkan nama Mahathir kembali.
 
Teruja dengan ‘inisiatif pembersihan’ PH itu, Mahathir sendiri menawarkan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.
 
Sayugia diingat bahawa kebanyakan akta berkenaan digubal dan pernah ‘dimanfaatkan serta diperkudakan’ oleh Mahathir ketika zaman pemerintahannya sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun seperti yang pernah diamanatkan oleh presiden Abraham Lincoln Amerika Syarikat, “kita boleh menipu sebahagian rakyat pada sesuatu masa, tetapi kita tidak mungkin mampu menipu semua rakyat sepanjang masa”.

Golongan cendekiawan Malaysia yang jujur pasti ‘ingat dan mempunyai dokumen cukup’ yang mampu mendedahkan ‘silap mata’ politik Mahathir selama ini.

Atau, adakah ini adalah konspirasi politik PH sendiri mahu mendedahkan hipokrasi Mahathir setelah beliau ‘membantu’ memenangkan PH dalam PRU14? 
 
 

Tags : Mahathir konspirasi PH



Ruangan Komen