Komentar   

Betul cakap Mahathir, PKR kena sabar

pada 28-03-2018 06:03 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

[ULASAN] Memang benar kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bahawa proses mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin memakan masa yang agak lama. 
 
Maklumlah Seri Paduka Baginda perlulah mempertimbangkan merit kes Datuk Seri Anwar untuk diberi pengampunan dari sekatan tidak boleh boleh aktif berpolitik lima tahun selepas selesai beliau menjalani hukuman penjara Jun ini kerana meliwat. 
 
Apatah lagi jika pengampunan berkenaan akan membawa erti Anwar mahu dilantik oleh Seri Paduka Baginda sendiri sebagai Perdana Menteri Malaysia jika berjaya dalam pilihan raya kecil Parlimen untuk melayakkan beliau memegang jawatan berkenaan.
 
Imej Seri Paduka Baginda juga harus dipertimbangkan. Atas alasan apakah Anwar yang dianggap sebagai bekas banduan pada satu hari akan diberi pengampunan penuh dan akan dilantik memerintah Malaysia esoknya? 
 
Tentu pertimbangannya, tidakkah Seri Paduka Baginda boleh disifatkan agak gopoh melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sedang hukuman beliau termasuk soal “bercuti” daripada politik untuk lima tahun. Tidakkah itu bererti “memendekkan” hukumannya?
 
Adakah Malaysia begitu terdesak bagi mendapatkan khidmat Anwar sebagai Perdana Menteri sehingga hilang pertimbangan lantas memperlecehkan kewibawaan hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan?
 
Jika demikian, tidakkah Seri Paduka Baginda boleh dipertikaikan sebagai mempersoalkan kearifan hakim-hakim yang dilantik oleh institusi Yang di-Pertuan Agong sendiri hanya kerana sebilangan rakyat mahu beliau diangkat menjadi Perdana Menteri.
 
“Anwar perlu diampunkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum beliau boleh berkecimpung dalam politik semula. Ia akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun. Saya tidak fikir saya boleh “bertahan” menjadi perdana menteri untuk satu penggal penuh,” kata Dr Mahathir. 
 
Pembangkang tidak serik kegagalan 'Langkah Kajang'?
 
Memang benar Anwar adalah Ketua Umum PH dan mengikut konsensusnya beliau akan menggantikan Tun Mahathir pada kadar seberapa segera yang boleh. Namun Malaysia ada peraturan soal memilih pemimpin menurut luas demokrasi ala-Malaysia.
 
Diandaikan PH berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak wajarlah ia menyalahguna kuasa dengan taktik “menggertak dan pulas tangan” terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan sistem memilih pemimpin, khususnya Peerdana Menteri.
 
Apakah PH tidak mengambil iktibar terhadap kegagalannya menjadikan skim “Langkah Kajang” satu realiti. Sebaliknya bukan sahaja idea yang dicetuskan “anak emas" Anwar, Rafizi Ramli, tidak menjadi malah Anwar pula dipenjarakan lagi?
 
Mahathir mungkin jujur mengatakan bahawa beliau memang berniat menjadikan Anwar Perdana Menteri sekurang-kurangnya dua tahun selepas PH memenangi PRU14. 
 
Justeru penyokong Anwar Ibrahim seharusnya menerima hakikat ini dengan dada terbuka dan jauh sekali menganggap kenyataan Mahathir sebagai satu tempelakan bagi PKR dan keluarga Anwar.
 
Naib Presiden PKR Dr Xavier Jeyakumar sebelum ini berkata Dr Mahathir memberikan komitmen untuk memulakan proses memohon pengampunan Istana untuk Anwar secepat mungkin supaya beliau boleh mengisi jawatan itu.
 
Begitu juga dengan Ketua Whip PKR di Parlimen, Datuk Johari Abdul yang mencongak tidak sampai sebelum memenangi PRU14, Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri. Keluarga Anwar tentu mengharapkan keajaiban itu satu realiti secepat mungkin. 
 
Namun apabila dalam satu wawancara dengan media asing, Mahathir mendakwa proses pengampunan itu akan mengambil masa antara dua hingga tiga tahun. Ini merangsang kekecewaan bagi penyokong Anwar dan keluarganya.
 
Anwar akan selesai menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan sodomi pada Jun ini. Bagaimanapun beliau memerlukan pengampunan Diraja untuk memegang sebarang jawatan rasmi dalam parti politik atau kerajaan. 
 
Mahathir tidak akan 'duduk sahaja'
 
Apapun kemelut yang bakal tercetus dalam PH pasca PRU14 tidak begitu mencemaskan Barisan Nasional kerana ia menjangka PH akan gagal dalam cubaan untuk menawan Putrajaya berasaskan kemelut dalaman pakatan itu serta kekuatan Barisan Nasional. 
 
Lantas bertebaranlah pandangan bahawa Mahathir kini dikatakan pasti menyambar peluang untuk mencantas Anwar untuk memperkuatkan kedudukan peribadi beliau dan anaknya, Mukhriz. 
 
Beberapa pihak melihat kenyataan Mahathir itu sebagai tidak lebih daripada helah politik terbaru untuk mengekang pengaruh Anwar dalam PH. Apapun jua, Mahathir memang terkenal mudah beralih niat bertindak sesuatu apabila berhadapan peluang baru.
 
"Kenapa Mahathir tidak sebut, kita akan percepatkan proses pengampunan ini dalam satu bulan, kemudian kita akan lakukan pilihan raya kecil untuk Anwar dijadikan Perdana Menteri? 
 
“Tapi kenapa Tun Mahathir sebut tiga tahun (proses pengampunan). Kenapa dia tak sebut tiga bulan untuk yakinkan penyokong-penyokong PH? 
 
"In kerana dia ada perancangan tertentu. Tun Mahathir ini, kita faham dalam apa jua  dia buat, beliau akan fikir keuntungan dirinya," kata bekas Pengasas PKR Ng Lum Yoong yang yakin Mahathir sudah mulai mengatur langkah mencantas Anwar sekali lagi. 
 
PKR dan keluarga Anwar sudah berjuang hampir 20 tahun menggerakkan reformasi dan mahu menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Sepatutnya sudah tentu bersabar dua hingga tiga tahun lagi tentu tidak menjadi kudis.
 
Memang adat perjuangan kesabaran adalah teman setia. Jika ada kesabaran, tentu Mahathir akan akhir menyerahkan jawatan utama negara kepada Anwar. Kecuali PKR dan keluarga Anwar ada bukti Mahathir tidak mahu mengotakan janji beliau.
 
Harus diakui Anwar Ibrahim bukan calang-calang politikus. Dalam tempoh 17 tahun menyertai Umno beliau berhasil mengenepikan pemimpin-pemimpin dalam Umno termasuk veteran seperti Timbalan Presiden, Tun Abdul Ghaffar Baba. 
 
Persoalannya, mulai awal Jun tahun ini hingga pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperolehi, bolehkah politikus gesit sepertinya bertopang dagu dan memerhati sahaja Mahathir “menyempurnakan reformasi” yang dicetuskannya?
 
Tidakkah istilah reformasi itu yang mencemaskan Mahathir hingga “terlanjur memperlahankan langkah politik Anwar dengan “merehatkannya di Penjara Sungai Buloh”?
 
Apapun apa yang pasti menggirangkan Anwar ialah tidak kira apa keputusan PRU14, 1 Syawal tahun hijrah ini, beliau akan dapat meraikan lebaran bersama keluarga besarnya.
 
 
 



Ruangan Komen