Komentar   

Betapa Mahathir cemburu pada aura Islam PAS

pada 21-03-2018 05:03 
Oleh Zainal Salleh

Post Pic

[ULASAN] Entah berpandu fatwa mana dan oleh siapa, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad merumuskan bahawa ‘PAS bukan sebuah parti Islam’.
 
Nampaknya, beliau hanya menggunakan logik akal apabila berhujah bahawa PAS tidak layak menjadi parti Islam kerana parti itu dikatakan turut dianggotai ahli bukan Islam. 
 
“PAS kalau dia bercampur dengan bukan Islam, dia jadi kafir. Takkan dia boleh. Dia tidak boleh. Dia orang yang pegang kepada prinsip, dia tahu kalau orang yang campur dengan kafir (maka) dia jadi kafir. 
 
“Jadi la ni pasal dia bercampur dengan DAP dulu, saya anggap parti PAS ini tak Islam,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, baru-baru ini.
 
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa manifesto partinya adalah naskah yang diteliti dan mengambil kira pandangan banyak pihak termasuk daripada bukan Islam.
  
Ini bukan kali pertama Dr Mahathir cuba ‘mengacah dan mencemar’ imej PAS dengan mengaitkannya isu ‘kafir atau tidak kafir’ membabitkan PAS.
 
Sebelum ini Pengerusi PPBM itu melabel Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai ‘kafir’ dan ‘pengkhianat’ kerana bekerjasama dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Bagaimanapun Hadi sebaliknya, mengumumkan beliau memaafkan Dr Mahathir atas faktor usianya yang sudah lebih 90 tahun dan menasihati bekas perdana menteri itu bertaubat.
 
Jika diturut logik Mahathir, satu perkara yang sudah pasti ialah, parti pimpinannya, PPBM, juga bukan sebuah parti Islam kerana bersekongkol dengan parti dominan Cina, DAP.
 
Ini bermakna walaupun Amanah menegaskan terbabit dalam politik Malaysia kerana mahu menggantikan PAS sebagai sebuah parti Islam juga gagal kerana terkait dengan “ketidakIslaman” DAP.
 
Logik Mahathir ini membabitkan PKR juga. Ia adalah sebuah parti yang membuka keahlian kepada bukan Melayu dan bukan Islam. Sudah tentu ini bermakna PKR juga sebuah parti politik yang tidak berpaksikan ajaran Islam.
 
Jika setiap kerabat PH tidak layak dipanggil parti politik Islam, apa yang Mahathir dapat?
 
Mahathir mahu PPBM dilabel Melayu-Islam
 
Yang jelas Mahathir bukan sahaja iri hati jika PAS diterima mutlak memperjuangkan dasar politik Islam. Ini akan dengan sendirinya memberi PAS peluang monopoli aura Islam. Ini secara automatik pula memburukkan lagi natijah persaingan tiga penjuru dalam PRU14.
 
Sebenarnya Mahathir amat mahu menyelitkan, malah, mengikat jalur politiknya dengan jenama Islam. Ini akan mendekat PPBM dengan hati pengundi Melayu-Islam. Namun PAS sudah mendahuluinya. Lantas, tumpuan beliau ialah menidakkan perjuangan Islam PAS.
 
Mahathir sedar perjuangan PH cacamarba. Ada yang mahu Islam Liberal (dan ada menamakan diri mereka Muslim Demokrat) dan ada pula yang mahu ‘menumpang kekuatan ekonomi bukan Melayu’.
 
Ketidakpastian imej rakan-rakan kongsi PH ini bagi Mahathir ini hanya akan menguntungkan Umno-BN dan PAS.
 
Sebab itu, beliau berusaha mengikis imej dan aura Islam PAS. Namun yang memeningkannya ialah, PAS kini bersedia pula bekerjasama dengan Umno. Malah PAS secara terbuka dan’merestui’ kerja-kerja makruf Umno selama ini. 
 
Dalam mendepani dilema ini timbul cerita kononnya PAS mendapat suntikan dana politik daripada Umno. Mahathir dan PH segera menggunakan rangkaian politiknya serta ‘kuasa asing’ untuk melemah dan memperlekeh kerja ta’awun PAS dengan Umno. 
 
Secara kebetulan atau memang sesuatu yang terancang, ada pihak luar yang ‘membantu’ memburukkan imej PAS dengan mendakwa PAS mendapat bantuan kewangan daripada Umno. Tohmah sebegini mungkin boleh melarutkan lagi imej Islam PAS.
 
Keadaan politik PAS ini cuba dikalutkan lagi oleh dakwaan kononnya kajian dan penyelidikan saintifik menunjukkan PAS tidak akan menang satu pun kerusi Parlimen dalam PRU14.
 
Ini adalah usaha meremeh dan menakutkan PAS. Matlamat utama ialah ‘menghasut’ pengundi Melayu-Islam bahawa PAS sudah ‘kelong” perjuangannya kerana bekerjasama dengan pihak kafir.
 
Yang pasti hujah itu dangkal dan murahan. Namun bagi Mahathir itu hanya helah pilihan raya dan sekaligus menegaskan bahawa beliau dan partinya ‘lebih Islam’ berbanding PAS.
 
Namun PAS tidak mudah termakan umpan Mahathir. Strategi lapuk Mahathir langsung tidak dilayan. PAS amat istiqamah pada falsafah perjuangannya – matang dan sejahtera. 
 
Mahathir berharap PAS latah dan bersilang ego dengannya di hadapan khalayak umum. Ini tentu menjanjikan publisiti untuknya tidak mati. Malang bagi Mahathir tahap pemikiran ahli dan pemimpin PAS sudah jauh meningkat. Yang kelihatan tidak matang ialah beliau sendiri.
 
Benar kata presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang konsisten pada Dr Mahathir dan konco-konconya ialah, mereka sebenarnya tidak konsisten. Bersenggama dengan musuh politik hari dan kemudian bermusuhan esoknya adalah corak politik Mahathir. 
 



Ruangan Komen