Komentar   

Layakkah PH dapat kuasa memerintah?

pada 17-03-2018 02:03 
Oleh Zainal Salleh

Post Pic

 
[ULASAN] Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) boleh dianggap sebagai plihanraya yang amat mengelirukan pengundi kerana ketulusan dan ketelusan kedua-dua blok politik utama dalam pemilihan kali ini boleh diragukan. 
 
Natijah kempen berpanjangan sejak PRU ke13 pada 2003 melambakkan pelbagai jenis maklumat negatif di antara kedua-dua pihak – Umno-BN dan Pakatan Harapan (PH) – hingga melunturkan kepercayaan sebilangan besar rakyat terhadap tawaran mereka. 
 
Namun hakikatnya, umat Islam tidak mudah keliru kerana boleh berpedoman pada banyak hadis dan ayat-ayat al-Quran yang disampaikan Allah s.w.t. melalui Nabi Muhammad s.a.w.
 
Penilaian terhadap kedua-dua pihak ini boleh dimulakan dari perspektif yang agak negatif. Seharusnya kedua-duanya  dinilai di segi ciri anti-manusia dan kemanusiaan masing-masing sama ada mengamalkan sifat dan sikap yang munafik atau tidak. 
 
Dari Abu Hurairah r.a., bahwa Nabi s.a.w. bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga: jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia mengingkari, dan jika diberi amanah ia berkhianat” (Hadits Shahih Bukhari)
 
Seharusnya diperhatikan sama ada baik Umno-BN mahupun Pakatan Rakyat ada mengamalkan: 
 
1. Bila berbicara selalu bohong. Orang seperti ini tidak boleh dipercayai setiap ucapkannya kerana apa yang dibicarakan tidak sesuai dengan hatinya.
2. Bila berjanji, tidak ditepati. Orang munafik sulit untuk dipercayai perkataan dan perbuatannya
3. Bila diberi kepercayaan selalu berkhianat. Orang munafik sulit diberikan kepercayaan kerana sering tidak menjaga amanah dengan baik.

Yang pasti memang umat Islam sudah dibekalkan dengan barometer iman yang jelas. Banyak ayat al Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. yang mengecam keras sifat munafik.  
 
Antaranya hadis yang diriwayatkan Bukhari-Muslim yang menokok satu lagi ciri munafik. Paling bahaya ialah ciri keempat iaitu, jika bertengkar atau bersengketa dia curang, menikam dari belakang.
 
Tiada yang lebih zalim jika ditinjau dari sudut pandang politik zaman ini ialah, kegiatan memburukkan saingan dengan menggunakan senjata fitnah yang disifatkan Allah s.w.t. lebih besar dosanya berbanding pembunuhan. 
 
Siapa lebih baik?
 
Sekali pandang, kedua-dua blok yang bertikai ini terbabit dengan semua aktiviti kemunafikan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. Namun pada realiti ada perbezaan yang nyata di antara kedua-duanya.

Umno-BN adalah pemerintah. 
 
Namun PH bukan sahaja mahu menjatuhkannya tetapi menguburkannya. Untuk itu, PH harus menawarkan pakej dan adab yang lebih baik dalam menyaingi BN. Malangnya ia tidak berbuat demikian.
 
Setiap apa yang boleh dilakukan oleh BN sebagai pemerintah juga ditiru dengan gigihnya oleh PH termasuk tipu helah, fitnah dan pembohongan. Namun sebagai pemerintah, BN tidak wajar dijatuhkan dengan fitnah. 
 
Ini kerana BN sudah ada perjanjian khusus dengan Allah sejak ia terlantik sebagai kerajaan. Setiap kecurangan dan ciri munafik yang diamalkan atau dikuatkuasakannya akan diberi pertimbangan khusus daripada Allah yang telah ‘meminjam’ kuasa kepadanya. 
 
Islam adalah agama Islah atau reformasi. Ia tertegak atas konsep amal ma’ruf nahi mungkar. Sudah pasti Allah lebih mengetahui peratus makruf yang BN lakukan dan juga kemungkarannya. 
 
Tanggungjawab BN adalah langsung kepada Allah yang ia telah berikrar ketika mengambil kuasa. Selagi ia tulus pada ikrarnya, rakyat berkewajipan taat kepadanya. Lantaran  itu ulama-ulama muktabar seperti Imam Shafie, Hambali, Ibn Taimiyah tidak bangkit menghasung rakyat menggulingkan kerajaan walau mereka diseksa. 
 
Yang penting tugas hakiki ulama dan umarak harus dibezakan. 
 
Dalam hubungan ini, sikap dan cara PAS berpolitik harus diamati. Ia pernah bekerjasama dengan parti pragmatik seperti Umno tetapi ia kurang selesa kerana berasa banyak tanggungjawab tidak dilangsaikan sepenuhnya.
 
Maka ia berkerabat dengan pembangkang, DAP dan PKR untuk memberi tawaran lebih luhur kepada rakyat pelbagai kaum dan agama. Namun banyak pula musibah berlaku. 
 
DAP mentalak PAS kerana “terlalu taksub Islamnya” dan PAS terpaksa menceraikan PKR kerana lemah iltizam Islamnya. 
 
PAS kini lebih mudah pendiriannya. Ia cuma perlu mengajak rakyat memilih di antara dua mudarat, yang mana satu lebih besar musibahnya. Atau, dengan perkataan lain di antara dua tawaran BN dan PH, yang mana satu yang lebih merapati maqasid syariah. 
 
Rakyat jadi penentu
 
Sekarang zaman ledakan teknologi maklumat. Rakyat bukan sahaja boleh menghidu pihak mana yang lebih tidak tulus dan kurang telus mendapat kuasa memerintah. 
 
Siapa lebih kuat dan besar fitnahnya dan adakah pihak yang mencabar lebih rendah kadar kecurangannya.
 
BN akan menerima hukuman langsung daripada Allah. Namun ia sudah mempunyai rekod memerintah. Cuma Allah tahu ia sudah melaksanakan tanggungjawab atau tidak.
 
Sementara PH kebanyakannya juga sudah berpengalaman berkuasa. 
 
Rekod pemimpin-pemimpin berkenaan juga dalam pengetahuan Allah. Namun secara kolektif mereka belum dapat membuktikan komitmen kerana belum berpeluang berkuasa penuh. 
 
Kini yang menjadi persoalannya, adalah rakyat yang berkuasa menentukan sama ada rekod mereka masing-masing melunaskan tanggungjawab memerintah sebelum ini layak dikira dan disaluti sebagai amalan soleh yang telah ditetapkan Allah.
 
PH harus ambil kira prestasinya sendiri sama ada ia hanya meniru pemikiran dan langkah politik Umno-BN (kerana umumnya mereka berasal dari blok berkenaan) atau mereka mempunyai tawaran lebih murni daripada itu. 
 
Atau, adakah mereka lebih licik, berdendam kesumat atau lebih curang daripada Umno-BN? Allah lebih banyak merahmati Malaysia. Jika falsafah, komitmen rekod mereka curang, hanya Allah mengetahui sama ada mereka layak memberi kuasa.
 
Tentu Allah mengetahui bahawa pembangkang hari pernah menyekat dana untuk pembangunan sekolah-sekolah agama rakyat kerana “takut” gertakan Amerika Syarikat bahaw madrasah adalah pusat pembiakan pengganas.
 
Allah juga tahu jika diberi kuasa pembangkang mahu kaji semula kewujudan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dengan matlamat menutupnya dan mahu perkhidmatan awam yang dianggotai majoriti muslim juga akan dikurangkan.
 
Pemimpin utama pembangkang juga sering mengutarakan maklumat kurang tepat, palsu dan fitnah untuk membentuk persepsi negatif terhadap pemerintah. 
 
Rekod Umno-BN sudah tegak sejak 60 tahun lalu, sudah tentu itu petunjuk bahawa secara perimbangannya ia melakukan lebih banyak makruf daripada mungkar sehingga mendapat izin rakyat untuk terus memerintah.
 

Tags : PH kuasa memerintah



Ruangan Komen