Nasional   

MB Selangor nafi air Selangor tidak cukup

pada 13-03-2018 11:03 

Post Pic

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan negeri itu kekurangan air terawat malah menegaskan kadar kuantiti air di Selangor semakin bertambah.
 
Beliau berkata demikian walaupun diasak pelbagai pihak mengenai krisis air terbaru yang memberi kesan kepada hampir dua juta penduduk di Lembah Klang, minggu lalu.
 
"Dalam konteks air ini, bekalan air di Selangor tidak ada kekurangan, saya dah cakap banyak kali kita sudah ada loji rawatan air sendiri. Kita belanja lebih dari setengah bilion. (loji rawatan air) Semenyih 2 dah siap. Sejak 1 Mac, kita ada penambahan 100 mld air. (Jadi) di mana ada kekurangan air terawat?
 
"Cuma yang berlaku baru-baru ini adalah kemalangan, saya pun tidak mahu kemalangan berlaku, sebab itu oleh kerana ia memberi kesan kepada rakyat, saya mohon maaf.
 
"Tapi saya juga nak nyatakan rakyat juga berhak tahu apa yang berlaku, sebab itu saya perlu jelaskan, bukannya saya nak menyalahkan mana-mana pihak," ujarnya kepada pemberita berhubung krisis air di Selangor selepas sistem mampatan udara Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pecah, 8 Mac lalu.
 
Insiden itu menyaksikan gangguan bekalan air di Lembah Klang semakin parah dan hanya kembali pulih pada Ahad, secara berperingkat.
 
Ujar Azmin kerajaan negeri tidak bertanggungjawab terhadap insiden itu sementelah loji tersebut berada di bawah pengurusan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).
 
"(Kerosakan) peralatan ini berlaku dalam Splash, kita (kerajaan negeri) tidak memiliki Splash. Ia (Splash) syarikat swasta lain cuma kita boleh minta bantuan SPAN untuk bantu memantau kerja-kerja penyelenggaraan di SSP3," ujarnya.
 
Terdahulu, kerajaan negeri meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masuk ke dalam SSP3 bagi menyiasat mengapa produktiviti pengeluaran air menurun. 
 
Ketika itu SPAN mengesan beberapa pam yang perlu dinaik taraf sebelum ia pecah dan mengakibatkan beberapa kakitangan cedera, jelas Azmin lagi.
 
ADUN Bukit Antarabangsa itu juga menafikan kadar air tidak terhasil (NWR) di Selangor semakin parah.
 
"Kita punya NRW sudah kurang daripada 33% kepada 30%, angkanya semua ada. Empangan air kita semua 100%, jadi kita punya margin sekarang dah meningkat dari 3% kepada 6%, bekalan air mentah. Kita dah tukar paip-paip untuk pastikan tiada masalah NRW. Kita sudah belanja lebih daripada 400 juta duit kerajaan negeri untuk menukar paip-paip lama.
 
"Maknanya kita dah ada tindakan jangka masa panjang untuk menjamin kelestarian bekalan air bagi industri dan juga domestik," ujar Azmin.
 
 
-ze



Ruangan Komen