Nasional   

Agihan kerusi Selangor belum selesai - Xavier

pada 13-03-2018 10:03 
Oleh Muhammad Ridz Effandy Bin Ibrahim

Post Pic

SHAH ALAM: Agihan kerusi DUN Selangor bagi Pakatan Harapan (PH) masih belum selesai, kata Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Dr Xavier Jayakumar.
 
Kenyataan Xavier ini sekaligus menafikan laporan sebuah akhbar yang memetik sumber, bahawa rundingan kerusi negeri ini telah selesai dan akan diumumkan hujung minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.
 
Beliau menegaskan cuma tinggal beberapa kerusi DUN yang belum selesai lagi atas sebab pertindihan kerusi.
 
"Agihan kerusi belum lagi selesai seperti mana yang dilaporkan media.
 
"Sebelum ini saya dah cakap, agihan kerusi masih belum selesai dan hanya 90 peratus sudah selesai, manakala lagi 10 peratus belum selesai", ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Sumber akhbar itu juga memberitahu wakil empat parti iaitu PKR dan DAP masing-masing akan bertanding 15 kerusi, manakala masing-masing 13 kerusi bagi Amanah dan PPBM.
 
Bagaimanapun, sumber itu enggan mengulas lanjut sama ada Amanah akan bertanding kerusi DUN milik PAS, atau PPBM di kerusi Barisan Nasional (BN).
 
Namun Xavier berkata pengagihan kerusi DUN dijangka dimuktamadkan pada pertengahan bulan ini atau selewat-lewatnya sebelum pembubaran Parlimen bagi tujuan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"Tarikh pengumuman agihan kerusi DUN Selangor bakal diumumkan sebelum pembubaran parlimen," tambahnya.
 
Dalam pada itu, Xavier tetap menegaskan bahawa isu agihan kerusi DUN Selangor bakal diselesaikan sendiri tanpa membawanya ke PH Pusat.
 
Sebelum ini, media melaporkan rundingan agihan kerusi DUN Selangor yang dijalankan sejak sebulan lalu masih buntu.
 
Pakatan Harapan memaklumkan tempoh akhir untuk membuat keputusan tersebut adalah selewat-lewatnya hujung Februari lepas.
 
-na-

Tags : kerusi Selangor Xavier PRU14



Ruangan Komen