Nasional   

Tahfiz terbakar: Mahkamah tolak bantahan awal

pada 13-03-2018 07:03 

Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Bantahan awal pihak pendakwaan gagal untuk mengecualikan peguam dari firma Tetuan Gobind Singh Deo & Co mewakili dua remaja yang didakwa atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, tahun lalu.
 
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pemohon yang diwakili Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan responden, Gobind Singh Deo.
 
Azman berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, setiap individu mempunyai hak memilih mana-mana peguam mewakili mereka dan pihak pembelaan menjelaskan tidak ada sebarang pertalian dengan saksi pendakwaan.
 
Susulan itu, Gobind atau mana-mana peguam firmanya dibenar mewakili dua tertuduh dalam kes itu.
 
Mahkamah menetapkan 11 April ini untuk sebutan semula kes manakala perbicaraan kes itu ditetapkan 12 hari bermula 30 Mei ini.
 
Mengikut pertuduhan, dua remaja yang kini berusia 17 tahun itu didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.
 
Kedua-dua remaja itu masing-masing menghadapi 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
 
Bagaimanapun, tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
 
Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz.
 
Pada 30 Januari lalu, pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal secara lisan kepada mahkamah supaya peguam dari firma guaman itu dikecualikan atau dilarang mewakili kedua-dua tertuduh berkenaan atas alasan firma berkenaan mewakili dua pesalah kanak-kanak lain di Mahkamah Majistret.
 
Antara alasan dikemukakan pendakwaan ialah dua pesalah berkenaan saksi utama kes, maka pihak pembelaan mempunyai akses dan keterangan yang bakal digunakan ketika perbicaraan kelak.
 
-na-



Ruangan Komen