Nasional   

Kenapa Dr Mahathir ungkit kisah lama? soal penganalisis

pada 13-03-2018 07:03 
Oleh Nur Atiqah Abdul Samad

Post Pic

SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik mengkritik tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau menyalahkan polis atas insiden mata lebam yang berlaku ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, perkara berkenaan sudah tidak lagi relevan untuk dibangkitkan kerana kes tersebut sudah 20 tahun berlalu.
 
Malah katanya, tindakan Dr Mahathir itu hanya akan memberi gambaran imej kurang baik kepada kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 
 
"Buat apa (ungkit) lagi benda yang dah lepas? Saya fikir perkara tu sudah berlalu dan pihak (anggota polis) yang terlibat telah pun disabitkan kesalahan dan telah dihukum. Jadi saya fikir ia tak perlu dibangkitkan lagi. 
 
"Ini tak baguslah kerana nak memburukkan imej polis dan sebagainya. Jadi saya fikir biarlah perkara itu berlalu dan menjadi sejarah, tak perlu dibuka kembali (kerana) tiada siapa nak perkara tu berlaku," katanya kepada Antarapos.
 
Semalam Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang ditemubual sebuah akhbar Cina berkata, polis bertanggungjawab terhadap insiden mata lebam bekas timbalannya itu pada 1998.
 
Katanya, beliau sangat marah kepada polis pada waktu itu dan hanya mengetahuinya selepas kejadian itu berlaku.
 
Anwar ditahan polis beberapa hari selepas dipecat daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.
 
Kerajaan mengambil langkah menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes insiden mata lebam Anwar itu.
 
Hasil siasatan mendapati Tan Sri Rahim Noor bertanggungjawab atas insiden mata lebam berkenaan. Beliau ialah ketua polis negara pada ketika itu.
 
Rahim meletak jawatan pada Jan 1999, selepas didapati bersalah dan dihukum penjara dua bulan serta denda RM2,000. 
 
Ketika ditanya, adakah tindakan Dr Mahathir ini akan memberi tempias kepadanya, Mustafa berkata pengerusi PPBM itu perlu juga dipertanggungjawabkan kerana beliau memerintah kerajaan ketika itu 
 
Tambah Mustafa, walaupun Dr Mahathir mendedahkan perkara ini namun ia tidak akan mengubah sejarah bahawa beliau adalah individu yang memenjarakan bekas ketua pembangkang itu.
 
Anwar sebelum ini dipenjarakan enam tahun atas tuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan tuduhan liwat pertama terhadapnya.
 
Beliau dibebaskan dari penjara Sungai Buloh pada 2004 apabila dua daripada tiga hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya untuk mengenepikan tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandunya. 
 
-ze



Ruangan Komen