Nasional   

Azmin Ali tidak berani tawar harga pada Splash, kata menteri

pada 13-03-2018 07:03 

Post Pic

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili menyifatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tidak berani menawarkan harga untuk mengambilalih Splash.
 
Maximus berkata Azmin harus berani dan tidak takut pada bayang-bayang bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan mengambil alih Splash atau Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd.
 
Sebelum ini Khalid berhasil mengambilalih tiga syarikat konsesi - Puncak Niaga Holding, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) kecuali Splash.
 
“Yang lain itu dah selesai, tapi hanya satu sahaja yang belum selesai. Sebutkan harga, buat tawaran kepada Splash, Splash katakan terima…saya duduk bersama dua pihak untuk mengatakan berapa banyak duit anda perlukan dari segi persekutuan.
 
“Sudah 3 kali perjanjian ditangguhkan hanya kerana menteri besar Selangor dan Selangor keseluruhan takut bayang-bayang Bandar Tun Razak (Khalid).
 
“Kalau tak, anda menyebabkan orang ramai merana, semua halangan dan catuan oleh kerajaan Selangor,” katanya di Dewan Rakyat.
 
Puncak Niaga Holdings Berhad menerima tawaran kerajaan Selangor pada 2014 untuk mengambil alih semua ekuiti, aset dan liabiliti syarikatnya dengan harga RM2.47 bilion, Syabas (RM3.11 bilion) dan ABBAS (RM900 juta).
 
Maximus dalam pada itu berkata, kerajaan pusat boleh menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) untuk menyelesaikan penyusunan air di Selangor, atas faktor keselamatan negara.
 
Menteri tenaga, teknologi hijau dan air itu berkata, jika situasi di Selangor berterusan, kerajaan pusat akan mengkaji pilihan dari segi perundangan, termasuk meneliti penggunaan Akta 655.
 
“Tapi saya harap ada konsep ‘willing buyer willing seller’ di mana saya tak perlu isytihar bagi pihak kerajaan persekutuan untuk darurat air dan akta itu akan jalan, di mana ia akan dikawal oleh kerajaan persekutuan. Saya mahu elakkan itu,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) yang mencadangkan kerajaan pusat menggunakan Akta 655 ke atas negeri yang belum melaksanakan penyusunan semula air.
 
Khalid berkata, kerajaan pusat mempunyai klausa di bawah Akta 655 untuk menyelesaikan penyusunan semula air di Selangor.
 
Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dilaporkan berkata, kerajaan Selangor diberi masa 4 bulan sehingga Julai depan untuk bersetuju melaksanakan proses migrasi bagi mengelakkan krisis air di negeri itu menjadi lebih buruk.
 
Beliau berkata, banyak implikasi yang akan berlaku antaranya Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang siap menjalani proses pengujian dan pentauliahan, tidak dapat digunakan.
 
Katanya, Selangor dan negeri lain yang tidak melaksanakan proses migrasi juga terpaksa menampung perbelanjaan tinggi untuk pembinaan loji, mengganti paip dan kerja penyelenggaraan lain.
 
Beliau memberi contoh sekurang-kurangnnya RM3 bilion hingga RM8 bilion diperlukan bagi kos pembinaan LRA serta kerja baik pulih infrastruktur, dan tiada syarikat yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sebanyak itu.
 
-ze



Ruangan Komen