Nasional   

Kes sumbang mahram lelaki dengan tiga anak saudara disebut 12 April ini

pada 13-03-2018 06:03 

Post Pic

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 12 April ini sebutan semula kes seorang bapa saudara berusia 46 tahun yang menghadapi 588 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap tiga anak saudaranya.
 
Hakim Azrul Darus dan Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh itu bagi mengetahui keputusan representasi oleh tertuduh agar pertuduhan terhadapnya dapat dikaji semula.
 
Pada 2 Februari lalu, tertuduh yang dipanggil oleh ketiga-tiga mangsa sebagai ‘Pak Su’ mengaku tidak bersalah atas 334 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya berusia 13 tahun yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu sejak lapan tahun lalu.
 
Pada 5 Februari pula, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah atas 253  pertuduhan melakukan sumbang mahram iaitu bersetubuh dengan  seorang lagi anak saudaranya  yang kini berusia 17 tahun sejak mangsa berusia enam tahun.
 
Tertuduh yang sudah berkahwin itu juga menghadapi satu  tuduhan cuba merogol seorang lagi anak saudaranya berusia 10 tahun yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu.
 
Tertuduh yang tidak mempunyai anak, didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah flat di Ampang, Hulu Langat dekat sini, antara Januari 2006 dan Januari 2018. 
 
-ze



Ruangan Komen