Nasional   

Bukan bai'ah tapi fokus tindakan calon lompat parti - DHPP

pada 13-03-2018 05:03 
Oleh Athirah Hanapiah

Post Pic

SHAH ALAM: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) berkata lafaz bai'ah bukan isu pokok yang harus diberi perhatian sebaliknya tindakan wakil rakyat berpaling tadah serta melompat parti adalah perkara utama yang mahu ditangani.
 
Ujar AJK DHPP Pusat, Dr Balachandran sekalipun diikat dengan lafaz bai'ah calon wakil rakyat PAS akan 'tidak akan miskin atau berpecah-belah' malah ia menjadi antara penyebab untuk mereka terus setia dengan perjuangan parti.
 
"Tiada masalah (setuju lafaz bai'ah), tiada isu. Kita tidak menjadi miskin dengan isu (lafaz bai'ah) itu. Kita tidak menjadi orang yang memporak-perandakan atau mewujudkan ketidaksejahteraan. Jadi bagi kita, itu bukan isu.
 
"Ia jadi isu bila orang lompat dari PAS. Itu baru jadi isu," katanya kepada Antarapos.
 
Februari lalu, Majlis Syura Ulama (MSU) PAS memutuskan untuk mengekalkan sumpah bai'ah ke atas calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada PRU14 kali ini. 
 
Setiausaha MSU, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata, sumpah bai'ah itu juga tertakluk ke atas calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti itu menerusi blok ketiganya, Gagasan Sejahtera (GAGASAN). 
 
Bagaimanapun, sebarang penambahan termasuk lafaz taklik cerai talak tiga, yang digunakan di Kelantan sebelum ini, belum dimuktamadkan.
 
Namun setakat ini, PAS Kelantan memaklumkan pihaknya masih belum berbincang sama ada mahu mengekalkan lafaz tersebut dalam sumpah baiah yang melibatkan calon mereka pada pilihan raya umum akan datang.
 
Sumpah talak tiga yang digunapakai parti itu banyak menerima kritikan pelbagai pihak kerana dikatakan merendahkan institusi rumah tangga, termasuk oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.
 
Malah, Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan ceramahnya di Bachok, Kelantan baru-baru ini juga mengkiritik lafaz bai'ah tersebut.
 
Azizah menganggap perkara itu sebagai satu cagaran dan kononnya berbeza sekali dengan pendekatan diambil PH yang lebih memartabatkan kaum hawa.
 
Mengulas perkara itu, Bala menganggap jika calon PAS tersebut berpegang pada sumpah yang dilafazkan dan menyayangi isterinya, individu itu tidak akan bertindak keluar parti.
 
"Bila kita buat janji sudah tentulah kena laksanakan, sebab ia berkaitan dengan isteri kita, sudah tentu kita sayangkan isteri kita, ia adalah persoalan sama ada kita sayang isteri kita atau tidak, ia sangat mudah.
 
"Ia hanya satu kesimpulan untuk mencari alasan tetapi pada akhirnya adakah kamu sayang isteri kamu? Itu sahaja," ujarnya lagi.
 
Antara wakil rakyat PAS yang melanggar bai'ah tersebut di Kelantan ialah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli dan ADUN Salor Husam Musa yang kini bersama parti serpihannya, Amanah.
 
 
-ze

Tags : lafaz bai'ah DHPP PAS cerai talak tiga



Ruangan Komen