Nasional   

SU Agung PPBM jumpa RoS hampir tiga jam

pada 14-11-2017 11:11 

Post Pic

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Dr Shahruddin Md Salleh hari ini memberi keterangan hampir 3 jam di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
Beliau yang memberi keterangan sejak 10.00 pagi berkata kehadirannya di ibu pejabat JPPM itu adalah untuk memberi keterangan susulan beberapa laporan dibuat kepada RoS berhubung dakwaan pimpinan tertinggi gagal mematuhi perlembagaan parti.
 
Lapan bahagian PPBM Johor membuat laporan kepada RoS berhubung perkara itu, antaranya kegagalan semua peringkat cawangan dan bahagian PPBM mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) selepas setahun ditubuhkan.
 
“Saya memberi kerjasama penuh dengan mengemukakan bukti dan keterangan berdasarkan kepada perlembagaan PPBM. Saya menjelaskan kenapa sesuatu tindakan dan keputusan diambil,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan.
 
Berhubung sayap pemuda PPBM, Shahruddin berkata Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman akan hadir memberi keterangan kepada RoS dalam masa terdekat.
 
Minggu lepas, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim berkata Armada tidak ada dalam perlembagaan parti itu, justeru penggunaan istilah yang tiada dalam perlembangaan parti boleh menyebabkan pendaftaran sesebuah pertubuhan dibatalkan mengikut Akta Pertubuhan 1966.



Ruangan Komen