Nasional   

PAS Kelantan sedia mansuh bai'ah talak tiga - Che Abdullah

pada 14-11-2017 08:11 
Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

 
SHAH ALAM: PAS Kelantan akan akur serta bersedia mengubah kandungan lafaz bai'ah yang dikenakan ke atas calonnya di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya diarahkan Majlis Syura Ulama, selaku entiti tertinggi parti itu.
 
Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata sehingga kini Majlis Syura Ulama masih meneliti dan belum ada kata putus bersabit isu tersebut.
 
"Kelantan ini kalau (PAS) pusat buat keputusan apa-apa pun kita terima," katanya.
 
Che Abdullah diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang menyatakan Majlis Syura Ulama sedang mempertimbang untuk memansuhkan bai'ah talak tiga dalam memastikan penyelarasan lafaz bai’ah di seluruh negara pada PRU14.
 
Hashim berkata badan tertinggi parti itu kini dalam proses penelitian untuk memansuhkan lafaz bai'ah talak tiga yang dikenakan ke atas calon bertanding khususnya di Kelantan.
 
Diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Syura Ulama mewajibkan calon bukan Islam melafazkan sumpah taat setia atau aku janji, Che Abdullah berkata ia perlu dipatuhi sebagaimana ditetapkan badan tertinggi itu.
 
"Kalau Mursyidul Am kata begitu, macam itulah.
 
"Kalau dia tak boleh terima apa-apa keputusan yang dibuat oleh PAS dia tak layak jadi calon PAS," katanya.
 
Perkembangan terbaru ini memperlihatkan PAS mahu memastikan calon yang bertanding mewakili parti itu kekal wala' kepada kepimpinan dan juga parti itu sekiranya memenangi PRU14 nanti.
 
Isu lafaz bai'ah PAS yang digunakan untuk mengikat wakil rakyat atau pemimpin pernah menjadi perdebatan secara terbuka selepas beberapa pimpinan kanan bertindak keluar parti.
 
-ze-

Tags : PAS Kelantan



Ruangan Komen