Nasional   

Sah pemimpin Melayu tiada tempat dalam CEC DAP

pada 14-11-2017 04:11 
Oleh Ainor Rahim

Post Pic

 
SHAH ALAM: Pemimpin Melayu tiada tempat dalam kepimpinan DAP, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Martadha Mohamad. 
 
Ujar beliau, keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Ahad lalu menunjukkan ahli akar umbi parti itu menolak pemimpin Melayu apabila hanya Zairil Khir Johari berjaya menempatkan diri dalam jawatankuasa itu.
 
"Ianya menggambarkan bahawa DAP bukanlah satu parti yang secara ideologinya terbuka untuk semua. 
 
"Kita dapati di kalangan pemimpin Cina sendiri mereka masih tidak sanggup dan tidak mahu untuk kepimpinan daripada terutamanya pemimpin Melayu yang dalam DAP," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Martadha berkata keputusan pemilihan semula CEC itu menjadi jawapan kepada segala hujah DAP sebelum ini bahawa partinya tidak rasis atau bukan hanya untuk kaum Cina semata-mata.
 
"Ini tunjukkan bahawa sebenarnya DAP ini masih lagi satu parti yang didominasikan oleh satu etnik sahaja. Walaupun kita lihat pelbagai hujah yang diberikan bahawa DAP ini merupakan sebuah parti yang terbuka untuk semua bangsa. 
 
"Kita melihat bahawa sejarah DAP itu sendiri daripada dulu hingga sekarang memang agak sukar untuk pemimpin Melayu dilantik sebagai antara kepimpinan tertinggi parti itu," katanya.
 
Keputusan pemilihan semula CEC DAP menyaksikan Lim Kit Siang mengekalkan jawatan ketua ahli Parlimen DAP, manakala anaknya, Lim Guan Eng, mempertahankan jawatan setiausaha agung yang digalas sejak 2004.
 
Bekas naib pengerusi, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, pula diberi kepercayaan sebagai Timbalan Setiausaha Agung.
 
Jawatan pengerusi DAP kebangsaan kini digalas Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, yang memangku jawatan itu selepas kematian Karpal Singh. 
 
Sementara itu, anak Karpal, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo pula diangkat daripada pengerusi biro undang-undang kepada timbalan pengerusi parti.
 
Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke kekal sebagai setiausaha organisasi, dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua kekal sebaga setiausaha publisiti. 
 
Walaubagaimanapun, senarai itu hanya mempunyai dua wakil Melayu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang dipilih secara lantikan dipilih sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan, manakala Zairil Khir Johari kekal dengan jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Publisiti Kebangsaan.
 
Marthada juga mengulas tindakan DAP 'menswastakan' kepada PKR untuk merealisasikan agenda partinya, 'Memelayukan DAP'.
 
DAP sebelum ini dilaporkan akan melantik Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai Yang Di-Pertua Majlis Agama Negeri Pulau Pinang (MAIPP) dan Exco Agama Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin dilantik sebagai Ahli Majlis MAIPP. 
 
"Perlantikan secara lantikan sebegitu sebenarnya tidak memberi kredibiliti kepada parti itu sendiri. Lebih utama dalam kepimpinan tertinggi ialah sudah tentu perlantikan itu dibuat oleh ahli parti itu sendiri. Bukan melalui perlantikan sebegitu. Perlu melalui proses pemilihan. 
 
"Bagi saya perlantikan itu lebih kepada satu proses yang tidak berdasarkan kepada proses pemilihan yang semulajadi. Ini secara langsung menggambarkan bahawa DAP masih lagi sebenarnya tidak terbuka untuk semua kaum, terutama kaum Melayu," tambahnya.

-ze-

 


Tags : Pemimpin Melayu CEC DAP



Ruangan Komen