Komentar   

Pakatan Harapan hadapi musim surut politik?

pada 17-10-2017 02:10 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
 
[ULASAN] Fitrah politik memang tertakluk pada musim dan pasang surut. Namun bagi kebanyakan parti politik yang berjaya, perancangan yang teliti serta idealisme yang jelas adalah amat membantu.
 
Kira-kira dua minggu lalu, PAS menggerakkan Fastaqim 2.0 untuk mempamerkan kejituan hala tuju politiknya dan keutuhan perpaduan dalam parti itu. Ia mendakwa 250,000 ahli dan penyokongnya menyertai perhimpunannya di Tok Jembal, Terengganu.
 
Turut ambil bahagian ialah Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia yang berkerabat dengan PAS dalam blok politik ketiga yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera. 
 
Sungguhpun begitu, ada ahli PAS sendiri yang mengingatkan kepimpinan PAS bahawa bilangan hadirin yang besar itu tidak semestinya boleh diterjemahkan pungutan undi yang besar dalam pilihanraya umum.
 
"Saya tidak pernah terpukau dengan kehadiran himpunan ramai sebab daripada dulu himpunan PAS memang ramai tetapi jumlah undi yang diperolehi PAS tidak mencukupi untuk menang dengan jumlah kerusi yang lebih besar.
 
"Sebab itu saya tidak nampak ada satu gelombang sebenar melainkan gelombang itu tidak pergi jauh kepada gelombang rakyat menyokong PAS atau mendokong Gagasan Sejahtera," kata Datuk Mahfuz Omar.
 
Bekas Naib Presiden PAS itu menganggap perhimpunan itu satu proses menentukan kekuatan sahaja tetapi hakikat serta realiti dalam pilihan raya ia berbeza.
 
Demikian pengalaman PAS dalam aktiviti menghimpunkan penyokong bagi mempamerkan kekuatan politiknya. 
 
Bagaimanapun rumusan yang sama tidaklah boleh dibuat terhadap Perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” anjuran Pakatan Harapan (PH) di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu lalu. 
 
Yang pasti kemuncak kempen politik PH berhubung isu kleptokrasi itu hanya mampu menghimpun lapan ribu hingga 14,000 peserta. Yang disasarkan ialah 100,000 orang. 
 
Namun PH mendakwa kehadiran sebenarnya 25,000 orang. Apa pun perangkaan ini tidak penting kerana perhimpunan berkenaan masih dianggap haram kerana tidak mendapat keizinan polis 
 
Berjayakah kempen anti-kleptokrasi?
 
Ini mungkin mendedahkan beberapa pemimpin PH dikenakan tindakan undang-undang menurut Akta Perhimpunan Aman. Perkara ini disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat. 
 
Persoalannya kini ialah, adakah kempen menyedarkan rakyat akan bahaya kleptokrasi yang dimulakan sejak pertengahan tahun ini sudah mencapai matlamat yang ditentukan kepimpinan Pakatan Harapan?
 
“Istilah kleptokrasi ini baru sahaja diketahui rakyat Malaysia lebih setahun lalu tetapi ia telah menyedarkan rakyat.
 
“Ini kerana jika sistem ini diteruskan di negara ini, ia amat berbahaya dan dengan adanya kesedaran ini, rakyat akan mula membanteras sistem ini daripada merebak,” kata ahli Majlis Pimpinan PPBM, Datuk A Kadir Jasin. 
 
Adakah ini bermakna kempen yang digerakkan di peringkat negeri-negeri sudah berjaya sehingga ramai yang menyokong perjuangan PH berasa tidak perlu menyertai himpunan kemuncak di Petaling Jaya itu?
 
Atau, adakah PH kurang teliti memilih tarikh sehingga ia bertembung dengan siaran langsung Liga Bolasepak Inggeris yang membabitkan perlawanan Liverpool menentang Manchester United hingga tidak ramai penyokong hadir himpunan itu.
 
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, cuba menudung rekod kecil kehadiran pada himpunan itu kerana kebanyakan peserta tidak begitu berminat menyertai himpunan santai berhawa karnival itu. Beliau berkata, mereka lebih ghairah jika ada perarakan. 
 
PH gagal sebagai penganjur
 
Di sini jelas perbezaan pengalaman politik PAS berbanding PH. Walaupun ada empat parti mendokong PH, mungkin cuma PKR sahaja yang mempunyai pengalaman ‘mengumpan’ rakyat keluar meramaikan aktiviti politiknya. 
 
DAP walaupun sudah lima dekad usianya masih tidak biasa menganjurkan perhimpunan raksasa sehinggalah ia bekerjasama dengan PKR dan PAS pada PRU 2008 dan 2013 sementara Amanah dan PPBM adalah terlalu mentah menganjurkan perhimpunan politik besar-besaran.
 
Sebab itulah, meskipun tidak berapa setuju dengan karenah politik PAS , Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mahu partinya, PKR, jangan putus kerjasama dengan PAS. 
 
Keberkesanan jentera PAS menganjurkan perhimpunan politik sukar dinafikan. Malah di peringkat akar umbi, imej DAP yang sebelum ini dikenali parti dominan Cina, berubah kerana berjaya “dijual” oleh PAS sebagai “boleh dipercayai bersama Pakatan Rakyat”.
 
Kini gabungan DAP, PKR, Amanah dan PPBM, nampak jelas tidak berkesan untuk menyaingi apatah lagi mengatasi PAS dalam perang persepsi siapa lebih gah dalam arena politik. 
 
Keadaan ini membayangkan bahawa di peringkat akar umbi keempat-empat parti berkenaan masih belum ada persefahaman dan kerjasama tulen menumbangkan UMNO-BN dan mentadbir negara ini. 
 
Ia juga menyelitkan keberangkalian bahawa bukan sahaja persefahaman di kalangan mereka tipis tetapi tahap kecurigaan terhadap satu sama lain pun masih tinggi. 
 
Mungkin benar pandangan bahawa persefahaman dalam PH terhad di kalangan kepimpinan DAP, PKR, Amanah dan PPBM sahaja. Justeru masih kedengaran rungutan dalam DAP tidak mempercayai ideologi politik Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
Pengarah Sekretariat Himpunan berkenaan, Mohamad Sabu bagaimanapun berpuas hati dengan angka kehadiran peserta himpunan yang diketuainya itu.
 
Beliau berkata himpunan kleptokrasi bukannya berhasrat untuk melawan dengan mana-mana parti lain kecuali Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Apa pun alasan PH, adalah jelas bahawa rakyat amnya masih belum mahu percaya sepenuhnya PH dan kempen kleptokrasi umumnya masih “kabur” di mata rakyat. 
 
Strategi “menjual” reputasi Dr Mahathir, Lim Kit Siang, Dr Wan Azizah Wan Ismail, nampaknya semakin merosot sambutannya kerana topik yang mereka ketengahkan adalah isu-isu yang sama dan tiada “penawar politik baru” yang mereka tawarkan. 
 
Berbanding persediaan PAS dan UMNO-BN menghadapi RU 14, nampaknya PH kini menghadapi musim surut. Ia perlukan fokus dan teras politik lebih ikhlas dan bukan melanjutkan kempen menyemarakkan benci pada kerajaan. Rakyat mungkin sudah muak. 
 

Tags : Pakatan Harapan



Ruangan Komen