Nasional   

[KEMASKINI] PH sedang yakinkan polis lokasi himpunan tak ganggu penduduk

pada 12-10-2017 08:10 
Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak polis berhubung lokasi penganjuran Himpunan ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ ekoran tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa berkenaan.
   
Naib Presiden PH, Datuk Seri Azmin Ali berkata sekretariat penganjur akan meneruskan perbincangan bagi meyakinkan polis mengenai jaminan keselamatan dan lalu lintas di lokasi himpunan. 
 
“Saya difahamkan penganjur akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis tapi saya tidak dapat makluman yang terkini, daripada laporan yang saya terima, mereka akan terus mengadakan perbincangan untuk menjamin keselamatan dan juga tak berlaku kesesakan dan tak ganggu penduduk sekitar kawasan itu. 
 
“Jadi ini tertakluk kepada perbincangan yang dijalankan pihak penganjur,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Inovasi peringkat negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini mengenai lokasi himpunan susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun yang meminta penganjur menukar ke Stadium Kelana Jaya bagi mengelakkan masalah lalu lintas.
 
Mohd Fuzi dalam kenyataanya semalam juga menegaskan tindakan boleh diambil terhadap PH jika mereka tetap berdegil meneruskan acara itu di Padang Timur.
 
Terdahulu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din memaklumkan pihaknya tidak bersetuju dengan pemilihan Padang Timur sebagai lokasi himpunan berdasarkan faktor mengganggu penumpang sistem transit aliran ringan (LRT) di Taman Jaya dan perkhidmatan bas di sekeliling kawasan itu.
 
Mohd Zani juga menyebut terdapat bantahan daripada penduduk di sekitar kawasan tersebut memandangkan Petaling Jaya sebagai laluan utama ke Shah Alam dan Kuala Lumpur.
 
Himpunan ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptorasi’ pada Sabtu ini merupakan kemuncak kepada siri jelajah mereka di seluruh negara, dan dijadualkan berlangsung bermula 4 petang hingga 11 malam.
 
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai hasrat Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang mahu menjual ikan di lokasi himpunan, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata beliau enggan melayan ‘polemik picisan’.
 
“Kita baru bincang soal ‘smart technology, regional smart state’. Janganlah letakkan wacana ke tahap begitu rendah.
 
“Rakyat perlu pembangunan, rakyat mahu kemajuan, mahu perpaduan. Saya telah keluarkan kenyataan semalam yang semua pihak rakyat Malaysia termasuk Selangor kena ambil iktibar dari pedoman dibuat Raja-raja Melayu yang tak pernah berlaku kepada pemerintah untuk mengambil tindakan itu," katanya lagi.
 
Kes saman Utusan Malaysia
 
Dalam perkembangan berasingan, ketika ditanya mengenai kes saman terhadap Utusan Malaysia berhubung artikel mengenai pesta arak di Selangor, Azmin berkata pihaknya akan meneruskan  tindakan sebagai pengajaran kepada akhbar berkenaan.
 
“Saya akan rujuk peguam. Saya dimaklumkan peguam yang Utusan sudah kemukakan maklum balas dan saya telah arahkan peguam saya untuk pastikan apa juga tindakan yang wajar diambil Utusan ialah untuk membersihkan nama saya dan tidak ulangi fitnah yang telah dilakukan. 
 
“Bentuk dan kaedahnya saya serah kepada peguam untuk bincang dan saya akan dapatkan maklumat terkini,” katanya.
 
Azmin pada hujung bulan lalu mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan surat tuntutan kepada Utusan Malaysia kerana menyiarkan laporan yang mendakwa bahawa beliau membenarkan pesta arak diadakan di negeri itu.
 
Akhbar itu yang bertarikh 25 September memaparkan tajuk utama "Azmin benar pesta arak" manakala tajuk kecilnya pula berbunyi “Tidak hirau amaran PDRM mengenai ancaman pengganas".
 
Perenggan pertama laporan itu menyebut bahawa "Kerajaan PKR Selangor tidak akan menghalang jika pesta arak Better Beer Festival 2017" mahu diadakan di negeri ini.
 
Ia memparafrasakan ayat-ayat Azmin yang kononnya berkata, ini sejajar dengan prinsip yang dipegang oleh kerajaan negeri Selangor iaitu untuk menghormati hak kaum dan agama lain.
 
-na-

Tags : PH polis himpunan



Ruangan Komen