Nasional   

Takiyuddin dakwa kerjasama PAS-Umno satu propaganda

pada 12-10-2017 06:10 

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan cubaan untuk Umno mengadakan pakatan pilihan raya dengan parti itu sebagai lawak dan satu propaganda.
 
Menurut Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan, PAS masih lagi berpendirian bahawa tiada sebarang kerjasama akan terjalin antara dua parti itu.
 
“Annuar Musa sedang buat lawak dengan mengatakan bahawa kita (PAS) berasal dari DNA yang sama… itu propagandalah.
 
"Kami tak pernah bertemu, dan presiden kami tidak pernah jumpa, panggil atau bincang (soal kerjasama dengan Umno). Tidak sekali-kali, tidak, tidak," katanya yang dipetik Malaysiakini.
 
Sebaliknya ujar beliau, kerjasama yang terjalin sebelum ini hanyalah dengan kerajaan mengenai isu-isu kepentingan Ummah dan bukan antara PAS-Umno.
 
"Tapi pada masa sama, kita dibenarkan untuk berbincang atau bekerjasama dalam isu umum demi bangsa dan Islam. Itulah sebabnya dalam kes RUU 355, kita menyokong kerajaan. Kerajaan, bukannya Umno," katanya.
 
Malam tadi, dalam sesi dialog bertajuk "Anda Tanya Kita Jawab" di Kuala Lumpur, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, Presidennya Datuk Seri Najib Razak telah mendapat lampu hijau untuk mengadakan rundingan pakatan pilihan raya dengan PAS.
 
Anuar menambah, ini adalah kali pertama idea mengenai pakatan antara kedua-dua parti itu dan segala-galanya kelihatan positif sekarang.
 
Malah beliau percaya usaha itu akan membuahkan hasil jika pakatan sedemikian disokong oleh ramai orang Melayu yang prihatin terhadap perpaduan Melayu.
 
Beliau berkata, ketetapan Majlis Syura Ulama' jelas yang parti itu tidak akan bekerjasama dengan BN dan juga Pakatan Harapan (PH).
 
“Tiada kerjasama (dengan Umno) sama sekali. Pada masa sama, keputusan kita juga tidak boleh ada apa-apa pakatan dengan HARAPAN (PH). Ketetapan ini sangat mengikat kita.
 
“Jadi jawapan saya ialah tidak akan ada rundingan dengan BN bagi menghadapi PRU ke-14. Itu sangat pasti,” katanya yang juga anggota parlimen Kota Bharu.
 
Ketika ditanya sama ada PAS akan menerima tawaran perdamaian dari Umno, Takiyuddin berkata mereka tidak akan menerimanya.
 
Malah, katanya lagi, ada di kalangan pemimpin parti itu yang berjenaka jika ia berlaku, "esok Umno akan membubarkan parlimen".
 
"Kita ada blok kita, blok ketiga. Kita yakin ada ahli dan pengundi mencukupi, jentera yang kuat, dan cawangan di seluruh negara," katanya lagi.
 
-na-

Tags : Takiuddin kerjasama PAS-Umno



Ruangan Komen