Dunia   

40 ditahan cuba ke Makkah tanpa dokumen sah

pada 11-08-2017 07:08 

Post Pic

 
TUBAN: Pejabat Imigresen Indonesia pada Khamis, menggagalkan usaha 40 jemaah haji negara itu untuk ke Makkah tanpa dokumen sah, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).
 
Ketua bahagian imigresen Sulawesi Selatan Ramli memberitahu AA, jemaah haji berkenaan ditahan di lapangan terbang Makassar.
 
"Mereka cuba ke Arab Saudi melalui Singapura dan Sri Lanka untuk menunaikan haji walaupun hanya memperolehi visa pelancong," katanya.
 
Semua jemaah berasal dari Sulawesi Selatan, tempat di mana penduduk perlu menunggu sehingga 29 tahun untuk menunaikan haji jika mendaftar dengan kerajaan.
 
Kuota haji ditentukan kerajaan Arab Saudi berdasarkan jumlah umat Islam setiap negara, bagi sejuta umat Islam 1,000 kuota jemaah haji diperuntukkan.
 
Indonesia yang mempunyai penduduk kira-kira 256 juta, menghantar sekitar 200,000 jemaah haji ke Makkah setiap tahun.
 
Ketua bahagian haji dan umrah Kementerian Hal Ehwal Agama, Abdul Djamil berkata, senarai menunggu untuk menunaikan haji di Indonesia sangat ramai.
 
Setakat ini, terdapat lebih dua juta penduduk Indonesia dalam senarai menunggu, disebabkan itu terdapat beberapa penduduk cuba menggunakan alternatif lain.
 
Pada Ogos tahun lepas, 177 warga Indonesia ditahan kerana menggunakan pasport haji Filipina.

Tags : Makkah tanpa dokumen sah



Ruangan Komen