Nasional   

Tun M, hentilah dendang nostalgia dahulu kala, gesa KJ

pada 06-12-2017 03:12 
Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar

Post Pic

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berhenti mendabik dada dan tidak lagi mengitar semula dakwaan kononnya beliau adalah pemimpin paling berjaya mentadbir Malaysia.
 
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu mendapat jolokan sebegitu disebabkan kawalan ketat ke atas media sepanjang tempoh pemerintahannya.
 
“Nostalgia dongeng sekali lagi dijaja - kononnya ini bukti beliau pemimpin yang popular, yang hebat berbanding sekarang kerana majoriti dua pertiga sukar diperolehi. Mereka yang hanyut dengan nostalgia dongeng ini lupa, bahawa persekitaran politik zaman dahulu jauh beza berbanding hari ini. 
 
“Media arus perdana dikawal sepenuhnya, media alternatif kurang ada. Segala spin dan cerita semua ditentukan oleh beliau - yang tak ikut telunjuk terus masuk penjara. 
 
“Kalau zaman beliau ada internet, ada blog, ada segala bagai media sosial seperti hari ini, saya teringin nak tengok sama ada beliau masih boleh menang mudah dua pertiga,” kata Khairy ketika menyampaikan ucapan Dasar Ketua Pemuda Umno sempena Persidangan Agung Umno 2017, pagi ini.
 
Khairy kemudian menjawab tuduhan pembangkang bahawa kononnya kerajaan kini mensasarkan Dr Mahathir dengan pelbagai tuduhan dan salah laku pentadbirannya, selepas kini menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
Bekas perdana menteri itu pada baru-baru ini mendakwa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan urus niaga tukaran mata wang asing (Forex) pada tahun 1990-an yang berlangsung beberapa bulan lalu telah dimanupulasi.
 
“Ada pula yang mungkin kata, kenapa dulu senyap? Tak cakap apa-apa? Jawapan mudahnya, dulu tiada kebebasan bersuara, baik di luar mahupun di dalam parti. Surat khabar yang kritikal ditutup. Pengkritik-pengkritik politik dicekup dan dihumban ke penjara dalam Ops Lalang. 
 
“Bila nak tutup mulut lawan, berlakulah tragedi Memali konon atas alasan keselamatan negara. Mahkamah dikawal sepenuhnya, sehingga Ketua Hakim Negara dipecat tanpa sebab yang kukuh. Perkara asas dalam sistem kehakiman pun diabaikan - ISA digunakan, dijadikan senjata - untuk menahan individu-individu yang dirasakan ancaman politik tanpa perlu dibicara. 
 
“Jangan lupa, Timbalan Perdana Menteri dia sendiripun kena tumbuk sehingga mata lebam. Timbalan Perdana Menteri hari ini ditahan bawah ISA dulu. AUKU dijadikan pendinding untuk menghalang mahasiswa bersuara. 
 
“Dalam parti, kerajaan, dan negara wujud 'a culture of fear'. Kuku besi. Sekarang dia bercakap macam dia orang suci dan kita pula yang zalim dan diktator,” kata Khairy sambil disambut sorakan ahli sayap parti itu.
 
Dr Mahathir kini yang menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kerap kali mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak kononnya Perdana Menteri itu lemah dalam pentadbiran dan mendakwa Barisan Nasional (BN) akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
Dr Mahathir sering membangkitkan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal derma politik dari negara Arab Saudi dalam meraih perhatian rakyat terutamanya anak-anak muda.
 
Khairy, bagaimanapun menggunakan pentas Dewan Tun Hussein Onn hari ini dengan membawa pelbagai lagi kegagalan Dr Mahathir dalam pentadbirannya, yang mungkin telah ‘dilupakan’ oleh pemimpin itu sendiri.
 
“Janganlah kita jadi Melayu yang mudah lupa, kegagalan mega pun kita tak ingat. Bank Negara rugi tukaran asing lebih RM31 billion, kita lupa? Perwaja Steel rugi RM10 billion, pun kita lupa? PKFZ rugi RM4.6 billion, kita lupa juga? Belum kira BioTech Valley, konon nak tarik pelabur dan pelaburan, tapi apa yang terjadi–sasaran pelaburan RM1 bilion sepi tanpa berita. 
 
“Belum lagi cerita tentang e-Village - konon nak bina Studio Hollywood Asia, tapi setelah bagi peruntukan lebih RM2 bilion, habuk pun tiada. Satu lagi - InventQjaya - konon nak bina pusat kajian dan paten - kajian dan patennya entah ke mana, hutang RM242 juta yang rakyat sehingga kini terpaksa biaya. 
 
“Ini belum kira lagi kerugian RM1.5 bilion Maminco dalam pasaran timah, lepas itu guna pula duit KWSP untuk bayar hutang mereka; kerugian beli semula saham MAS lebih dua kali harga pasaran; penggunaan duit rakyat untuk naikkan harga saham Time Dot Com bila mereka berhutang hampir RM5 bilion. Dan macam-macam lagi kalau kita nak bercerita,” ujar Khairy.
 
Sehubungan itu Ahli Parlimen Rembau itu mengingatkan rakyat bijak menilai ‘cerita dongeng’ yang disampaikan oleh Dr Mahathir.
 
“Tidak salah menyanjung pemimpin, tetapi teraskanlah ia dengan analisa yang objektif, bukannya perasaan, mitos, dan dongeng. Melangkahlah ke hadapan berpaksikan hakikat dan realiti, jangan biarkan diri dikawal nostalgia dan emosi, kerana perjalanan kita masih jauh lagi,” demikian menurut Khairy lagi.



Ruangan Komen