Nasional   

Saman DoJ usaha untuk campur tangan dalam negara

pada 16-06-2017 09:06 
Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik melihat tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang memfailkan saman sivil berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), adalah satu usaha campur tangan oleh pihak luar untuk mengganggu gugat kedaulatan negara. 
 
Pensyarah kanan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salawati Mat Basir berkata, isu itu digunakan sebagai 'jambatan' bagi tujuan tersebut.    
 
"Orang luar ini sama ada niat mereka baik atau tidak, kita tak boleh percaya. Kadang-kadang menangguk di air keruh. Kita kena faham bahawa kadang-kadang mereka sebenarnya ada niat lain terhadap Malaysia.
 
"Dan mereka menggunakan kes ini sebagai satu jambatan untuk campur tangan terhadap isu dalam negara.
 
"Ada banyak lagi isu besar di dunia ini, kenapa mereka nak beri tumpuan lebih terhadap Malaysia? Saya tak kata isu 1MDB ini perlu ditutup atau sebagainya, ia perlu dikendalikan dengan telus, tetapi kenapa pihak luar yang dilihat beriya-iya?," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
DoJ pada semalam memfailkan dokumen lebih dari 200 mukasurat di sebuah mahkamah di California sebagai usaha merampas aset dan hartanah mewah yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dilarikan 1MDB.
 
Tahun lalu DoJ mengumumkan hasil siasatannya dengan mendakwa berlaku kecurian lebih dari RM19 bilion dalam 1MDB yang juga melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.
 
1MDB dalam kenyataannya hari ini menyifatkan tindakan DoJ itu sebagai tindakan tanpa bukti yang jelas, selain bertegas tidak ada kaitan dengan permohonan AS, selain tidak menerima sebarang panggilan daripada DoJ.
 
Syarikat milik Kementerian Kewangan itu bagaimanapun menyatakan kesediaannya memberi kesediaan kerjasama “dengan mana-mana pihak berkuasa luar negara, berdasarkan protokol antarabangsa mengenai perkara itu dan nasihat pihak berkuasa tempatan yang berkaitan."
 
Tambah Salawati, tanpa pembuktian yang jelas, tindakan pemfailan saman sivil itu akan dilihat lebih berdasarkan andaian.
 
 
 



Ruangan Komen