Nasional   

Jasad Nhaveen selamat disemadikan

pada 16-06-2017 09:06 

Post Pic

 
GEORGETOWN: Jasad remaja yang dibuli hingga mati, T Nhaveen, 18, selamat disemadikan dengan cara dibakar di Krematorium Batu Gantung, di sini. 
 
Kira-kira 1,000 orang termasuk anggota keluarga dan sahabat handai hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang. 
 
Terdahulu, jasad mendiang dibawa dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) ke krematorium itu selepas proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 1 pagi Jumaat.
 
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut hadir memberikan penghormatan terakhir. 
 
Kedengaran laungan 'We Want Justice' oleh anggota keluarga dan sahabat handai mendiang sebelum upacara keagamaan berlangsung.
 
Terdahulu, upacara keagamaan berlangsung selama dua jam yang turut diiringi dengan pukulan gendang sebagai memulakan upacara.
 
Jasad Nhaveen kemudiannya dibawa ke pusat pembakaran pada pukul 3.30 petang untuk proses persemadian mengikut cara dibakar.
 
Sementara itu, ibu saudara mendiang G. Premalatha berkata mereka sekeluarga tidak mahu menuntut apa-apa selain daripada keadilan untuk Nhaveen.
 
"Dengan keadilan kami yakin roh Nhaveen akan lebih tenang dan kami menuntut keadilan ini kerana tidak mahu kejadian sama berulang kepada orang lain," katanya.
 
Nhaveen disahkan meninggal dunia petang semalam, selepas enam hari bertarung nyawa akibat dipukul hingga koma.
 
Remaja berusia 18 tahun itu dipukul sekumpulan remaja  awal pagi Sabtu lepas, yang ketika itu baru selesai menjamu selera di gerai burger di Jalan Kaki Bukit bersama rakannya, T Previin, 19. 
 
Difahamkan, pergaduhan bermula selepas dua remaja lelaki bertindak mengusik Nhaveen, dan kemudian dipertahankan Previin.
 
Tidak berpuas hati, dua remaja berkenaan membuat panggilan telefon dan kemudian lebih ramai yang datang dengan menaiki motosikal. Mereka kemudian mula memukul Nhaveen dan Preevin dengan topi keledar.  
 
Bagaimanapun Previin yang turut dipukul, berjaya melarikan diri dan memberitahu keluarga mangsa.
 
Nhaveen yang ditemui tidak sedarkan diri, dihantar ke Hospital Pulau Pinang. 
 
Hasil pemeriksaan, Nhaveen mengalami kecederaan parah di kepala dan luka di bahagian kemaluan yang berdarah.
 
Doktor juga memaklumkan, terdapat bukti kesan tembus pada dubur Nhaveen dan juga kecederaan pada kemaluan dan kesan lecur di bahagian belakang badan. 
 
Susulan kejadian itu, polis menahan lima remaja termasuk dua pelajar tingkatan empat dan lima bagi membantu siasatan kes itu.
 
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
 
 
-sh-

Tags : Nhaveen



Ruangan Komen