Nasional   

Empat ditahan disyaki terlibat Daesh

pada 16-06-2017 05:06 

Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Empat individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan militan Daesh.
 
Keempat-empat lelaki berkenaan termasuk tiga warga Indonesia, ditahan dalam tangkapan berasingan di Slim River, Perak dan Sandakan, Sabah, minggu ini.
 
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga Indonesia dalam satu operasi di Slim River, Ahad lalu.
 
Tangkapan kedua terhadap tiga lagi suspek dilakukan di Sandakan, semalam, membabitkan dua warga Indonesia dan seorang penduduk tempatan.
 
"Mereka merancang ke Marawi (di Filipina) untuk menyertai puak pejuang di sana," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman di sini, hari ini.
 
Khalid berkata, polis turut merampas pelbagai dokumen berkaitan Daesh daripada empat suspek terbabit serta tiga pisau 'Rambo' daripada tiga suspek yang ditahan di Sandakan, semalam. 
 
"Pisau itu baru dibeli sebagai persiapan menyerang polis jika mereka ditahan. Alhamdulillah, mereka tak sempat untuk menggunakan senjata itu," katanya. 
 
Katanya, semua suspek berusia antara 30 hingga 48 tahun manakala kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (SOSMA) 2012.
 
 
 

Tags : Daesh



Ruangan Komen