Komentar   

Mimpi Pakatan Harapan berterusan lagi

pada 15-06-2017 11:06 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

 
[ULASAN] Tidak menguntungkan. Lantas DAP pun bersuara tidak cenderung pada idea Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat mahu memonopoli kuasa dan pengaruh dalam Pakatan Harapan (PH).
 
DAP pada asasnya tidak akan bersetuju dengan mana-mana langkah politik yang tidak memberi pulangan nyata. Ia boleh bekerjasama dengan sesiapa dan menurut strategi apa jua jika ia menguntungkan.
 
Sebab itu DAP sanggup bekerjasama dengan PAS beberapa kali meskipun percubaan sebelum itu gagal. Ia pernah menyertai Semangat 46 dan PAS dalam Barisan Alternatif dan Gagasan Rakyat. Terakhir sekali bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat.
 
Namun dalam kes mahu melonjakkan lagi kerjasama dalam PH yang bercita-cita bertarung dalam Pilihanraya Umum ke-14 menggunakan satu manifesto dan logo, DAP nyata tidak bersetuju dengan penstrukturan yang dicadangkan oleh PPBM.
 
Cadangan itu herot. DAP melihat PPBM cuba “mendominasi” PH dengan meletakkan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamed dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin  pada posisi yang sama pula dalam struktur PH. 
 
Dalam perkataan lain DAP membaca PPBM mahu “mengambil alih” kepimpinan pakatan itu. 
 
Keresahan ini disuarakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang melihat pakej cadangan PPBM itu sebagai tidak memenuhi aspirasi DAP, PKR dan Amanah.
 
"Saya tidak akan bersetuju jawatan pengerusi dan presiden (PH) diisi oleh BERSATU (PPBM). Ini adalah suatu monopoli dan penguasaan kawalan (terhadap PH)," katanya.
 
Jumaat lalu Majlis Presiden PH bermesyuarat mengenai struktur kepimpinan PH menjelang PRU ke-14 yang akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat. Difahamkan struktur itu akan diumumkan minggu ini.
 
Dr Mahathir dan Muhyiddin dinamakan sebagai Pengerusi dan Presiden PH, sementara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuma dicadangkan sebagai Penasihat gagasan itu sahaja.
 
Guan Eng masih kaget syor PPBM ini boleh diketahui pihak media namun yang pasti beliau menganggap butir sedemikian adalah tidak wajar dan tidak boleh beliau persetujui. 
 
Cadangan PPBM itu juga menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Pengerusi dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PH.
 
Meskipun Guan Eng bersetuju Dr Mahathir dilantik sebagai kepimpinan utama dalam mengetuai pilihan raya, beliau menyifatkan Anwar masih tokoh yang relevan dalam politik negara.
 
"Kami menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri tetapi kita perlu terima hakikat bahawa Anwar tidak boleh menduduki jawatan itu terus atas faktor kelayakan (undang-undang).
 
"Justeru, akan ada tempoh peralihan sementara," katanya.
 
Perkembangan ini pastinya meresahkan PKR yang tegar mahu Ketua Umumnya itu mengisi kerusi perdana menteri jika pembangkang memenangi PRU ke-14.
 
Malah pandangan bapa Guan Eng, Lim Kit Siang sebelum ini bahawa Anwar tidak mungkin menjadi perdana menteri ketujuh kerana masih dikekang oleh statusnya sebagai banduan, agak menjengkelkan PKR.
 
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata Anwar masih boleh menjadi perdana menteri selepas ini kerana beliau sebenarnya berdepan dengan proses perundangan yang tidak normal.
 
"Kit Siang mungkin melihat dari segi perundangan yang normal. Sedangkan Anwar merupakan seorang banduan yang abnormal, seorang tahanan politik. 
 
“Oleh kerana itu mengapa kita harus melihatnya melalui proses yang normal? Beliau akan diadili oleh masyarakat dan negara selepas kita menang, secara abnormal.
 
"Bukan ada satu keadaan sahaja untuk membebaskan Anwar, ada lagi beberapa termasuk pengampunan total daripada Yang di-Pertuan Agong. Maka apa jua yang menyekatnya untuk menjadi PM akan hilang.
 
"(Maka) Proses untuk beliau menjadi PM juga akan berlaku secara abnormal," katanya
 
Sebelum itu, dalam satu kenyataan Kit Siang berkata, Anwar tidak boleh menjadi perdana menteri ketujuh meskipun bekas ketua pembangkang itu dilihat calon utama PH ketika ini.
 
Ini kerana, Anwar masih terikat dengan perundangan yang menyebabkan dirinya hilang hak memegang jawatan awam selama lima tahun dari tempoh pembebasannya.
 
Kit Siang berkata, atas sebab-sebab itu, Anwar hanya boleh menjadi perdana menteri kelapan.

Johari berkata, PKR komited menjadikan Anwar calon tunggal bagi jawatan perdana menteri dan akan melakukan pelbagai cara membolehkan pemimpin itu bebas.
 
Malah, ujarnya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan tetap menjadi 'pemanas kerusi' sebelum ia diserahkan kepada Anwar.
 
"Kita menang hari ini, maka kita terus juga minta ampun, esoknya Anwar bebas dan pengampunan itu secara total. Salah seorang daripada kita akan kosongkan kerusi. 
 
“Kemudian SPR akan umumkan dalam tempoh 14 hari buat pilihan raya. Minggu ketiganya Anwar boleh menjadi PM," kata Johari.
 
Anwar pada 10 Februari 2015 dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mendapati bekas Ketua Pembangkang itu bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya.
 
PKR masih mengulet mimpi Anwar akan menjadi perdana menteri. DAP pula tidak kira siapa asalkan dapat ke Putrajaya. Amanah kelu berbicara. Namun PPBM tidak jenuh berusaha mahu terus menjadi peneraju.
 
Dalam kepentingan yang bersilang ini, rakyat melihat bahawa yang tidak dianyam dan ditenun rapi ialah bagaimana mahu meleburkan jambatan kepentingan diri di kalangan parti PH ini. Jika tidak ada kesepaduan dan keikhlasan, bagaimana mahu memerintah?
 
Jika congakan dan peraturan ini semua bukan mimpi, apakah dia?

Tags : Pakatan Harapan



Ruangan Komen