Komentar   

Benarkah tiada 'abang besar' dalam Pakatan Harapan?

pada 19-07-2017 05:07 
Oleh Abdul Rahman Malik

Post Pic

[ULASAN] Ada bidalan Inggeris mengatakan, anak muda merokok untuk ‘membuktikan’ ia telah dewasa. Sementara orang dewasa pula merokok untuk menunjukkan gaya mudanya masih ada.
 
Begitu juga dengan perawakan ahli politik. Bagi parti yang besar ia akan mendakwa bahawa ia adil pada rakan-rakan parti kecil dan sementara parti yang kecil akan menyatakan keyakinan bahawa pakatannya berjiwa besar dan semua komponen adalah setaraf.
 
Dalam seminggu sudah dua kali Pengarah Komunikasi Amanah, Abdul Khalid Samad mengumumkan bahawa dasar Pakatan Harapan (PH) ialah membuat keputusan secara konsensus kerana kedudukan semua ahli komponen adalah setaraf. 
 
Maka menurut bidalan Inggeris yang dipetik lebih awal, parti kecil seperti Amanah cuba melupakan saiz partinya dan berpaut pada klise politik kononnya semua komponen sama di mata kepimpinan PH.
 
Sebenarnya itu cuma harapan. Kenyataan Khalid boleh dilihat sebagai untuk “menyedapkan hati” sendiri sahaja. Amanah berharap pucuk pimpinan gabungan itu akan benar-benar jujur memperjuangkan dan mempertahankan status “sama rata” dalam PH.
 
Jika tidak, ia akan dihantui oleh pelbagai igauan politik bahawa ia akan menjadi mentimum di kalangan durian besar PH. Bergolek ia luka dan digolekpun ia boleh cedera. 
 
Rasional untuk Amanah fikirkan
 
Ketua Umum dan Presiden PH misalnya, pasangan suami isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mungkin boleh memutuskan bahawa oleh kerana Amanah tiada rekod bertanding pilihan raya umum ia harus tidak bertanding terlalu banyak kerusi. 
 
Alasan yang mungkin digunakan ialah  Jentera pilihan raya Amanah belum teruji dalam PRU. Dua pengalaman dalam Pilihan raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak memperlihatkan kekuatan “luar biasa” Amanah.
 
Justeru demi menjamin kepentingan strategi PH pada PRU14 keseluruhnnya, ia (Amanah) mungkin tidak mendapat kuota kerusi yang sama dengan DAP, PKR dan PPBM. Ketika itu,  apa Amanah boleh buat?
 
Keputusan itu mungkin keluar dalam bentuk pujukan bahawasanya Amanah perlu berkorban untuk maslahat PH. Bolehkah Amanah menganggap ia satu pengorbanan dan bukan arahan ‘abang besar”?
 
Lainlah PPBM. Meskipun cuma ada satu kerusi Parlimen dewasa ini tetapi ‘nilai tambahnya’  auranya dalam bentuk Pengerusi PH sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah besar. Ketrampilan beliau sudah cukup untuk melonjakkan PPBM sebagai peneraju PH.
 
Maka soal yang perlu diteliti, adakah itu maksud tiada “abang besar” dalam pakatan berkenaan? Jika begitu pemahamannya, adakah ia satu jaminan tidak akan timbul dan tidak akan menggugat kedudukan Amanah dalam keluarga PH? 
 
Namun di mata PH, Amanah masih sebuah parti kecil yang tidak dan belum mampu menonjolkan ramai pemimpinnya untuk menduduki majlis tertinggi PH. 
 
Yang ia ada cuma harapan – parti besar lain seperti DAP, PKR dan kini PPBM – tidak berpadu tenaga untuk menentukan Amanah mesti akur pada setiap kehendak dan cakap PH yang ditentukan sepatutnya secara konsensus di kalangan DAP, PKR dan PPBM!
 
Rupanya ada yang tidak puas hati
 
Kini dalam kem PH sudah mula kedengaran keresahan beberapa pemimpin komponen pakatan itu yang dikatakan sedang melakar strategi mahu memintas pimpinan rasmi dalam menentukan kedudukan politik masing-masing jika PH menang PRU 14.
 
Yang berasa kerdil dalam struktur organisasi PH tentunya Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali. 
 
Bagi beliau struktur PH itu benar-benar mencabar egonya. Ini kerana difahamkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu beliau diletakkan sebaris dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai Timbalan Presiden PH.
 
Amanat Anwar ini khabarnya disampaikan pada Biro Politik PKR supaya ia menjadi ketetapan PH. Malangnya, Majlis Presiden PH dikhabarkan menolak usul itu kerana enggan meletakkan Presiden dan Timbalan Presiden PKR sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PH pula.
 
Seorang lagi pemimpin kanan PH yang dikatakan resah dengan kedudukannya dalam PH ialah presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau sebelum ini disyorkan partinya untuk menjadi Presiden PH. Syor PPBM ditolak dan beliau kini hanya Timbalan Presiden PH.
 
Kedudukan sebagai Presiden PH sudah tentu mampu merapatkan Muhyiddin pada jawatan Perdana Menteri jika PH menang PRU14. Namun jawatan itu sebaliknya diberikan pada presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
 
Ini membayangkan bahawa jika PH menang PRU 14, maka benarlah Wan Azizah akan menjadi ‘pemanas kerusi’ Perdana Menteri sehingga suaminya, Anwar Ibrahim selesai urusan perundangan yang boleh mengizinkan beliau mengambil alih kerusi berkenaan. 
 
Yang pasti nasib politik Muhyiddin akan hanyut lebih jauh dari pusar kuasa Perdana Menteri ke-8 Malaysia. Ada desus mengatakan bahawa secara peribadi Muhyiddin dan Azmin sedang menyusun langkah merapati PAS.
 
Khabarnya, antara tawaran mereka pada PAS ialah mahu menjalin kerjasama secara berkongsi platform jentera pilihan raya dan memunculkan pakatan ketiga selepas PH dan Umno-BN.
 
Tun Mahathir tanpa selindung canang dirinya ‘top dog’
 
Nampaknya andaian Khalid Samad tiada konsep ‘abang besar” dalam PH masih satu angan-angan berdasarkan keberangkalian bahawa Pengerusi PH sendiri, Tun Mahathir Mohamad masih lagi berkeyakinan tinggi bahawa buat ketika ini beliaulah tokoh ulung PH.
 
Dr Mahathir menyamakan dirinya sebagai 'top dog' (pemimpin utama) yang setanding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
"Saya merupakan salah seorang pemimpinnya, saya sebagai pengerusinya. Dalam beberapa perkara di dalam hiraki PH, saya adalah 'top dog', manakala beliau (Najib) adalah top dog di sana (kerajaan)," ujarnya.
 
Malah beliau tidak menyorokkan pendiriannya bahawa Ketua Umum PH, Anwar Ibrahim masih tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana isu akhlaknya, belum berubah.
 
Meskipun berlapik dalam memberi jawapan kepada cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menyatakan pendiriannya dengan jawapan ia terpulang pada pilihan rakyat, ia masih bermaksud beliau tidak mahu Anwar jadi Perdana Menteri.
 
"Saya berpegang dengan kenyataan saya ketika itu. Untuk sekarang, tidak (ada perubahan). Pada ketika itu ada beberapa perkara dan itu respon saya. 
 
“Mungkin tahun akan datang saya tukar pandangan lagi. Anda tunggu," katanya.
 
Ketika itu, PH akan benar-benar berada di persimpangan. Ia akan teruji, di antara Mahathir dan Anwar siapakah “abang besar” sebenarnya. Khalid Samad dan kawan-kawannya kelak akan bercempera meletakkan diri sama dalam kem Pengerusi atau Ketua Umum PH.
 
Kesengsaraan dan harapan rakyat Malaysia akan terus tergantung dibuai oleh lagu harapan yang musnah yang cuba didendangkan oleh soldadu Pakatan Harapan seperti Abdul Khalid Samad yang masih belum nampak jalan kejayaan berpolitik
 

Tags : abang besar Pakatan Harapan



Ruangan Komen